Sunday, August 28, 2011

CINTA adalah suatu ANUGERAH ♥



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani .

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarokatuh

Ana malu sendirian . Senyum tak sudah-sudah melatari bibirku . Tulang pipiku pula seakan tertongkat ke atas merautkan wajah jadi ceria dihiasi senyum kambing . Ana cuba untuk tidak melayan perasaan ini lagi, tetapi hati ana terus galak melayang jauh entah ke mana . Betapa dia bertakhta di hati ana hinggakan tidak lengkap rasanya bila tak bertemu dia .Seperti ada yang tidak kena sepanjang hari . Setiap detik yang ana lalui hari ini seolah-olah tidak sempurna tanpa suaranya . Seketika baru ana mengerti, semuanya kerana anugerah Allah SWT hadiahkan buat hambaNya yang dipanggil cinta .

Nur Iman, hebat benar dugaan yang Allah SWT ciptakan buat hambaNya yang lemah seperti ana . Ombak perasaan yang melanda seolah-olah menyeksa ana untuk sentiasa bersama dan melihat dia . Namun, hakikatnya ana hanya mengintai dari jauh membuatkan ana harus sedar dan waras untuk memelihara kenikmatan perasaan ini, yang ada kalanya membuai rasa dan ada kalanya pula begitu menyesakkan . Indahnya rasa ini bertukar tuba seandainya salah pengertian dan sumbang tingkahnya .

Ana mula menggambarkan sejarah agungnya cinta Zulaikha ke atas nabi Allah Yusof a.s hingga memungkinkan segala yang kelihatan seakan mustahil . Ulungnya cinta Khadijah buat suami yang juga penghulu segala rasul, Nabi Muhammad SAW sehingga tiada yang dapat menandingi pengorbanannya hingga ke hembusan nafas terakhir . Sucinya cinta dan kasih Zainab, puteri Rasulullah yang sanggup menangguhkan hijrah demi suami tercinta, namun ahirnya akur jua dipisahkan lantaran harus memilih haluan iman antara suami dan ayah, hukum dan cinta . Lalu serta merta ana panjatkan doa kerdil ana ke hadrat Ilahi atas anugerah yang Maha Indah ini...

Doa melihat atau mendapat sesuatu yang disukai

الحَمْدُ للَّـهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ
"Segala puji kepunyaan Allah yang dengan nikmatnya sempurna segala kebajikan"

Semoga segala yang baik itu tercipta untuk ana . Subhanallah...semalam, bertemu dia bagi ana satu hadiah . Hari ini bersama dia untuk ana satu anugerah dan ana menanti esok, untuk terus menghargai dia . Walaupun ana belum tahu apakah akhirnya kami, kesyukuran sentiasa ana panjatkan buat yang Maha Esa atas pertemuan ini dan bagi ana, cinta suatu anugerah .

Nur Iman, cinta hatiku . Berdosakah ana kerana mencintai dia? Ana sedikit keliru apa yang harus ana lakukan . Jiwa ana risau, hati ana bimbang cinta ini bakal membuatkan ana berdosa dan lalai . Mana tidaknya, setiap saat setiap waktu asyik dia yang bermain di fikiran ana . Risau ana tersasar dari landasan yang sepatutnya ana jejaki, lantaran buaian perasaan yang terlalu asyik ini . Kau tahukan Nur Iman, sms ana tidak pernah putus, seolah-olah kami dipisahkan dua benua terbesar di dunia, sedangkan kurang dari setengah jam kami boleh aje bertemu kalau mahu . Tapi kami memilih untuk tidak selalu bersama kerana takut ganjaran palsu yang dibisikkan iblis penggoda berjaya menggoyahkan benteng iman kami yang sedia lemah ini . Kami bertemu tanpa wajah, bersua tanpa muka dan berbicara tanpa suara .

Hatinya pula bagaimana ? Apa, adakah ruang untuk ana menumpang kasih yang tercipta ini . Ana sebenarnya kagum dengan kesabaran dia . Bukan seminggu bukan sebulan tapi bertahun dia menanti untuk ana buka pintu hati ana ini . Entah apalah yang dia lihat pada ana yang serba kekurangan dan naif ini . Malah bukan sedikit tingkah ana yang ana sendiri jelik bila angin ana tidak baik . Namun dia, tetap tenang dan sabar . Katanya, demi ana dia sanggup apa saja . Wah! Bagaikan sebuah ceritera Melayu lama bagaimana gagahnya Hang Tuah, pahlawan Melayu menongkah badai melawan arus demi Tun Teja, sang puteri yang diidamkan . Walaupun, akhirnya cinta itu padam . Ya Allah, minta dijauhkan dari hikayat hidup ana yang bukan puteri idaman ini .

Dalam bahagia, ana sebenarnya gusar . Benarkah rasa dicintai ini akan berkekalan seperti yang diimpikan setiap insan dilamun oleh rasa itu . Ana tidak lupa kepada Pencipta perasaan ini yang juga penentu segalanya yakni yang Maha Esa .

Mudah-mudahan kami akan disatukan dengan ikatan janji yang bersulamkan iman serta takwa . Rahmat dan kasihMu Ilahi yang ana harapkan agar ana dapat bersamanya menikmati hari-hari yang masih berbaki . Berbakti taat setia sebagai isteri, bergurau senda sebagai teman dan menangis hiba sebagai sahabat untuknya . Amin~

Cinta itu indah, cinta itu cantik dan cinta itu molek . Walau berjuta definisi diberikan dalam menafsir cinta seperti ayat 'cintaku bukan di atas kertas' misalnya, yang pasti cinta itu adalah kurniaan Ilahi yang sangat hebat nilainya . Kerana cinta, manusia sanggup melakukan apa saja . Tidak kira baik atau sebaliknya . Tindakan manusia dalam memperjuangkan cintanya, bergantung kepada siapa insan atau golongan yang dicintainya itu . Bercintalah kerana kita memang diciptakan Ilahi dengan nikmat cinta yang luar biasa hebatnya .

"...Di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dan jenismu sendiri supaya kamu merasa damai dan tenang dengannya dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih sayang . Sesungguhnya pada yang demikian itu cukup sebagai bukti(kehebatan Allah) bagi kaum yang berfikir." [Surah ar-Rum : 21]

Kenapa perlu ada cinta? Dan bagaimana menangani cinta yang luar biasa? Dengan cinta, terbina pelbagai institusi insani . Keluarga dan masyarakat contohnyalahir dari liang cinta yang bercambah menjadi sebuah komuniti yang bertebaran menjamah alam ciptaan Allah SWT ini . Allah SWT Maha Sempurna . Setiap kejadian yang diciptakanNya pasti diiringi dengan bekal serta panduan . Doa, sekali lagi memainkan peranannnya dalam kita melayari bahtera cinta yang kadang-kadang boleh hanyut walaupun nakhodanya kelihatan ampuh mendorong arahnya yang seakan-akan terpandu betul ke hadapan jalan . Cinta boleh dibayangi impian karut yang sebenarnya direka cipta oleh syaitan yang sesat lagi menyesatkan .

"...Dihiasi manusia dengan kecintaan kepada yang diingini, wanita, anak-anak, harta yang banyak terdiri dari emas dan perak, kuda pilihan, binatang ternakan dan tanaman . Semua itu hanya kesenangan hidup di dunia saja. Di sisi Allah adalah sebaik-baik tempat kembali (syurga) ." [Surah Ali-Imran : 14]

Allah SWT tidak pernah membezakan urusan doa hambaNya . Tanpa mengira besar atau kecil, cepat atau lambat permintaan itu, semuanya Allah SWT layan sama rata . Bolot kesempatan yang ada, janga bazirkan walau sezarah pun . Doalah apa saja selagi ianya untuk kebajikan dan berlandaskan iman . Tiada tempat lain untuk manusia bergantung harap selain dari Allah SWT .

"...Dan janganlah kamu beribadah kepada selain Allah, iaitu kepada sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kamu dan juga tidak dapat memberi mudarat kepada kamu." [Surah Yunus : 106]

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

No comments:

Post a Comment