Wednesday, September 7, 2011

Adab Menuntut Ilmu


Bismillahirrahmanirrahim. Assalam'alaikum warahmatullahi wabarokatu

ADAB menuntut ilmu hendaklah ikhlas dan diniatkan dalam hati kerana Allah. Apabila seseorang menuntut ilmu hanya mendapatkan gelaran, kedudukan atau ingin menjadi orang dipandang, maka Rasulullah SAW memberi peringatan.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa menuntut ilmu yang dipelajari hanya kerana Allah sedangkan ia tidak menuntutnya kecuali untuk mendapatkan mata benda dunia, ia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Jika ada yang berhajat menuntut ilmu untuk mendapatkan syahadah (sarjana muda atau doktor falsafah) kerana menjadi peraturan yang tertulis hanya mereka yang memiliki pendidikan tinggi boleh menyampaikan atau mengajar ilmu, niat itu termasuk dalam niat yang benar.
Menuntut ilmu dengan niat untuk menghilangkan kebodohan diri dan selepas memiliki ilmu kita harus mengajarkan kepada orang lain untuk menghilang kebodohan daripada diri mereka. Mengajarkan kepada orang lain itu dengan pelbagai cara membolehkan orang lain mendapat manfaat ilmu kita.
Apakah disyaratkan untuk memberi manfaat kepada orang lain kita perlu duduk di masjid atau memberi manfaat dengan ilmu itu pada setiap saat? Jawapan yang benar adalah yang kedua kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sampaikanlah dariku walaupun cuma satu ayat.” (Hadis riwayat Bukhari)
Imam Ahmad berkata: “Ilmu tidak ada bandingannya apabila niatnya benar. Muridnya bertanya: Bagaimanakah yang demikian itu? Beliau menjawab: ia berniat menghilangkan kebodohan daripada dirinya dan orang lain.”
Menjadi keharusan bagi penuntut ilmu berniat menuntut ilmu untuk membela syariat kerana kedudukan syariat sama dengan pedang jika tidak ada seseorang menggunakannya ia tidak bererti.
Penuntut ilmu harus membela agamanya daripada hal yang menyimpang daripada agama. Perkara itu hanya boleh dilakukan jika seseorang itu memiliki ilmu yang benar, sesuai petunjuk al-Quran dan as-Sunnah.
Apabila ada perbezaan pendapat, hendaknya penuntut ilmu menerima perbezaan itu dengan lapang dada selama perbezaan itu pada persoalan ijtihad, bukan akidah kerana persoalan akidah adalah masalah yang tidak ada perbezaan pendapat di kalangan salaf.
Berbeza dalam masalah ijtihad, perbezaan pendapat sudah ada sejak zaman sahabat, bahkan pada masa Rasulullah SAW masih hidup tetapi jangan sampai menghina atau menjelekkan orang lain yang kebetulan berbeza pendapat dengan kita.
Mengamalkan ilmu yang diperoleh termasuk adab terpenting bagi penuntut ilmu kerana amal adalah buah daripada ilmu, baik akidah, ibadah, akhlak mahupun muamalah. Orang yang memiliki ilmu seperti orang memiliki senjata yang tidak akan ada gunanya kecuali diamalkan (digunakan).
Kebenaran dan sabar termasuk adab paling penting bagi kita sebagai penuntut ilmu. Mencari kebenaran daripada berita yang sampai kepada kita yang menjadi sumber hukum. Ketika sampai kepada kita sebuah hadis misalnya, kita harus meneliti lebih dulu kesahihan hadis itu.
Jika menemui bukti bahawa hadis itu sahih, berusaha lagi mencari makna (pengertian) hadis itu.

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

Perkara2 Yg Perlu Utk Menuntut Ilmu


Bismillahirrahmanirrahim. Assalam'alaikum warahmatullahi wabarokatu


Menuntut ilmu adalah merupakan fardhu a'in keatas setiap individu muslim. Bersesuaian dengan ayat pertama yang diturunkan oleh Allah s.w.t yang mengesa hamba-Nya menuntut ilmu dengan kalimah Iqra' yang bermaksud bacalah oleh mu wahai Muhammad. Walaupun ayat ini diturunkan kepada Rasulullah  S.A.W tetapi perintahnya merangkumi semua umat Nabi Muhammad S.A.W. Untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T ketika kita menuntut ilmu , maka kita perlulah memenuhi syarat-syarat berikut:


Niat yang ikhlas: Kita hendaklah berniat menuntut ilmu untuk mencari keredhaan Allah S.W.T semata-mata, barulah kita akan mendapat ganjaran pahala daripada-Nya. Barangsiapa yang berkehendakkan kebaikan dunia maka hendaklah ia mencari ilmu, barangsiapa yang hendak kebaikan akhirat , maka hendaklah dengan ilmu dan barangsiapa yang hendak kebaikan dunia dan akhirat juga hendaklah dengan ilmu.

Meninggalkan maksiat: Maksiat merupakan penghalang kepada proses penerimaan ilmu pengetahuan , istemewanya ilmu agama. Ini boleh digambarkan melalui satu analogi iaitu: " Manusia seperti cermin, ilmu seperti cahaya dan maksiat seperti debu, bagaimana cahaya hendak menyinari cermin kalau cermin ditutupi oleh debu yang tebal". Oleh itu untuk mendapat manfaat ilmu , maka seseorang itu mestilah menyucikan dirinya terlebih dahulu daripada perkara-perkara maksiat.

Tidak berbangga-bangga dengan ilmu yang ada. Tujuan kita menuntut ilmu adalah untuk menghapuskan kejahilan bukan bertujuan untuk memperkecilkan orang lain atau untuk berdebat untuk menentukan siapa yang lebih hebat. Namun begitu boleh berdebat untuk menegakkan kebenaran agama Allah S,W.T.

* Beramal dengan ilmu pengetahuan yang diperolehi. Sangatlah besar dosa disisi Allah S.W.T bagi seseorang yang dia mengatakan apa yang dia sendiri tidak mengamalkan. Di akhirat nanti ada satu golongan manusia yang akan mengheret perutnya ke sana-ke mari di tengah khalayak. Lalu orang bertanya apakah yang telah dilakukan. Maka orang inilah ulama' yang pandai bercakap sahaja tanpa mengamalkannya.

Menghormati guru. Guru telah mengambil tugas sebagai rasul. Kalau rasul menyampaikan agama kepada manusia , maka guru pula menyampaikan ilmu kepada pelajar. Menghormati guru adalah merupakan faktor utama yang boleh mendatangkan keberkatan kepada pelajar tersebut. Imam as-Shafie tidak pernah tidur menghulurkan kakinya ke arah rumah gurunya kerana menghormati kedudukan seorang tuan guru.

Amanah dengan ilmu. Seseorang yang diberi nikmat ilmu yang banyak mestilah amanah dengan ilmu yang telah mereka dapati. Ilmu itu hendak disampaikan apabila diminta oleh muridnya. Mereka juga mestilah bercakap benar walaupun pahit. Seorang ulama' yang membisukan dirinya daripada menyatakan kebenaran kerana menjaga kepentingan kedudukan, harta dan sebagainya maka ia akan dibangkitkan sebagai seekor syaitan bisu.

Tidak mempelajari ilmu-ilmu yang bertentangan dengan Islam. Kita diwajibkan menuntut ilmu yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam sahaja. Adapun belajar ilmu hitam, belajar menipu, belajar mencuri belajar cara-cara hendak memujuk perempuan untuk dijadikan girl friend dan sebagainya maka ia adalah tidak dibolehkan dalam Islam.

Tidak meninggalkan kewajipan fardhu a'in. Semasa proses menuntut ilmu , kita tidak boleh mengabaikan kewajipan asas seperti solat, puasa, menjaga batasan pergaulan, menjaga aurat dan sebagainya.Sekiranya kita meninggalkan kewajipan tersebut maka kita tidak akan mendapat pahala dan proses belajar tersebut tidak dikira sebagai ibadat malahan akan mendapat dosa pula.

Bersabar dalam menuntut ilmu. Menuntut ilmu memerlukan banyak kesabaran dan pengorbanan samada berbentuk dugaan harta, masa, masalah peribadi, masalah keluarga dan sebagainya. Oleh kerana belajar juga  merupakan satu ibadah , maka sudah tentu ia tidak akan terlepas daripada halangan , godaan serta bisikan syaitan. Oleh sebab itu seorang pelajar perlulah bersabar menempuhi segala mehnah dan tribulasi tersebut.

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك