Tuesday, August 14, 2012

Soal HATI ~♥


Sewaktu suatu ketika saling berbalas messagedengan sahabat nun di UIA Gombak sana, secara tidak sengaja persoalan hati dikeluarkan.
"rindu Rabiatul juga. Biasa la, sihat Alhamdulillah. Tapi dalaman tak berapa sihat. Macam mana nak jaga hati ni ye Rabiatul?"
Soal hati. Dan perasaan.
"Daripada maksiat. Daripada zina hati. Daripada segala dosa. Daripada lelaki. Tak suka la. Org sekarang ramai duk bercouple. Kita tak nak. Tapi kawan yang rapat semua dah ada. Keinginan tu ada tapi nak elak. Susah sangat. Macam mana ea?"
Dia seorang sahabat yang bukan daripada jurusan Bahasa Arab seperti saya. Mula mengenalinya melalui perantaraan seorang roommate yang juga satu jurusan dengannya. Seorang muslimah yang sangat periang dan ramah. Sungguh! Cepat sahaja mesra kerana perwatakannya yang 'happening' serasi dengan diri.
Peribadinya yang satu itu mengagumkan. Yang mana tidak saya temui ketara pada sahabat lain sekalipun mereka yang satu jurusan. Satu yang terlalu mengajar saya, sikapnya yang dahagakan ilmu. Sikapnya yang tidak malu walau tidak tahu dan terus bertanya andai tidak memahami sesuatu perkara. Merendah diri. Saya malu sendiri dalam rasa dihargai kerana selalu sahaja bertanya kepada diri ini. Sedangkan saya sendiri maklum tidak banyak ilmu yang saya tahu untuk dikongsikan dan menjawab soalan-soalan daripada dia seorang muslimah manis bertudung labuh.
Love ya friend!
Dari dulu sampai sekarang sahabat sudi menjadikan diri tempat luahan untuk berbicara tentang soal perasaan dari hati ke hati. Dan dari situ diri memahami isu cinta ini evergreen. Sungguh saya tidak pernah bosan. Malah bukan hak saya untuk mendengar acuh tidak acuh setiap perkongsian daripada sahabat. Raikan ceritanya. Walaupun melihat kepada kisah hidup saya, saya bukanlah seorang yang layak untuk berbicara tentang cinta. Kerana saya masih belum cukup makan garam!
Ada kisah tersepit kerana cinta. Ada kisah keinginan mahu berubah terkadang terasa payah kerana cinta dulu datang mengundang. Ada kisah tangis disebabkan cinta. Ada kisah yang keliru dalam mengejar cinta. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah terus mendengar dengan hati terbuka. Don't ever easily judge them but help them till the end.
Terkadang ada sahabat yang mendesak diri ini supaya menceritakan soal hati kerana hanya dia sahaja yang berkongsi. Bukan saya tidak mahu tetapi tiada apa yang menarik tentang cinta untuk diberitahu. Rasa suka itu pasti ada tanda kenormalan hormon tetapi sekejap sahaja. Sukar meminati seseorang. Sukar jatuh cinta. Jadi, tiada cerita. Mungkin kerana masih meminati 'Barbie' dan melangut kepala menonton 'Totally Spies'? (Tak adalah. Saya gurau sahaja. He he.)
Prinsip. Tidak ada yang boleh mengambil tempat 'dia-yang-entah-di-mana' selagi belum ada ikatan sah. Prinsip. Tidak mahu dimabukkan dengan khayalan cinta yang tidak pasti. Prinsip. Jangan biarkan cinta yang tidak diundang meruntuhkan pendirian seorang muslimah dalam diri. Prinsip. Hidup ini bukan sekadar untuk diisi dengan kecintaan terhadap manusia. Prinsip. Katanya seorang da'ie, kau harus kuat untuk mendidik ummah jadi jangan mudah lemah kerana cinta!
Mungkin kerana prinsip ini yang membuatkan diri tetap pada pegangan. Anda juga begitu, bukan? Maka pegang ia kemas-kemas. Saya mahu dia yang ikhlas dalam cinta terhadap agama jadi saya juga berkeras mendidik jiwa meletakkan Dia yang pertama di dalam hati. Walaupun saya tahu masih belum berjaya. Payah. Terlalu kerana cinta dunia itu bersifat mengasak. Namun, pasti terus usaha! Bukan mudah untuk menjadi muslimah yang kental melawan arus cinta zaman kini. So, just take the challenge!
Lelaki pada saya begini. Yang lebih tua bagaikan seorang abang untuk dihormati. Yang lebih muda dianggap bagai adik sendiri untuk dikasihi. Yang sebaya sebagai sahabat seperjuangan. Ada yang lebih mengambil pendekatan untuk lebih menjaga. Tua atau muda sama sahaja. Raikan pendiriannya. Kerana kita masing-masing membesar dalam suasana persekitaran yang berlainan. Yang penting, syariat dan batas itu mesti tetap terjaga.
Apabila begitu, saya mengajar diri untuk tidak mudah membenarkan sesiapa menyentuh hati saya. Sering saya ulang supaya jangan terlalu mudah perasan dan cepat melatah. Tidak bermakna lelaki yang menegur kita punya perasaan. Ada segelintir yang punya semangat setiakawan yang tinggi. Raikan mereka. Kerana mereka juga manusia seperti kita. Rai sekadarnya yang perlu. Namun, mana yang berkehendak lebih, nantikan 'sepakan penalti'.

(Photo credit: seyed mostafa zamani via photo pin cc)
Suatu hari, ketika seorang sahabat pulang daripada bersiar-siar dan kembali ke bilik, dia mula berkongsi cerita. Katanya, sewaktu berada di dalam kedai buku dia terdengar seorang lelaki mengatakan...
"Sebelum aku kahwin, aku mahu bahagiakan ibu bapa aku dahulu."
Tersentap. Saya yang terasa.
Saya dan dia sama-sama mengiyakan kenyataan itu.
Jauh merenung. Kata-kata itu dalam maksudnya. Saya ambil serius.
Sebelum aku kahwin, aku mahu benar-benar merasai cinta Ilahi.
Sebelum aku kahwin, aku mahu mengutip pengalaman selama mana hidup sendiri.
Sebelum aku kahwin, aku mahu persiapkan hati untuk menghadapi cabaran mendatang.
Sebelum aku kahwin...ah, entahkan sempat atau tidak!

Yang pasti, akan kahwin atau tidak, ajal pasti akan datang.
Sebelum kematian datang menjemput, tidak dapat tidak diri mesti sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Seharusnya ditukar 'Sebelum aku pergi...', kemudian baru menyedari begitu banyak perkara yang masih perlu dilakukan selain hanya berfikir 'Sebelum aku kahwin'!
Menjalani kehidupan mencari sebenar-benar hakikat cinta.
Kesimpulan.
Ini kesimpulan yang panjang. Apa yang mahu disampaikan kali ini.
Cinta manusia. Salahkah?
Tidak salah tetapi jangan sampai diri lemah kerananya. Apabila kau menyedari diri merupakan seorang pejuang maka itulah fokus kehidupanmu. Ya, melalui cinta juga diri bisa berdakwah. Berdakwahlah sekalipun dengan isu cinta manusia yang kerap kali terulang. Namun ingat, hati juga perlu pengisian yang lebih daripada sekadar cinta itu. Perluaskan skop pandangan melihat perkataan 'cinta'. Hebat andai pada tiap lintasan di minda, anda sentiasa mentafsir perkataan 'cinta' itu adalah cinta kepada Allah. Nah, begitu yang kita mahu. 
Tidak salah. Kerana itu adanya perkahwinan untuk merai fitrah manusiawi. Tidak salah mahu berbicara soal kahwin dan merancangnya mengikut syariat kerana itu juga yang dianjurkan Rasulullah. Namun lebihkan pada perancangan dan pengurusan diri. Tidak usah melihat jauh, lihatlah terlebih dahulu pada solat lima waktu sehari semalam. Apakah berusaha didirikan pada awal waktu?
Tidak salah tetapi usah kau keliru memandang cinta. Cinta yang tidak syar'ie tiada sebab untuk kau cemburui. Bersabarlah. Jodohmu pasti tiba andai takdir ada di dunia. Jangan mengambil jalan mudah dengan menjalin hubungan cinta yang membelakangiNya. Itu cinta nafsu! Tiada keberkatannya andai lorong itu yang diambil. Maka, waspadalah. Kerana syaitan itu bijak menghias perkara maksiat pada penglihatan sebagai suatu khayalan indah.
Tidak salah tetapi berjaga moga tidak cenderung ke arah cinta manusia yang tidak halal. Rentetan itu hati menjadi sedih tatkala cinta tidak seperti yg diidam. Tidak salah mula mencari andai diri itu sudah diketahui bersedia memasuki fasa baru. Namun berpadalah. Jangan sehingga pencarian menjadi racun kepada ibadah.
Tidak salah. Tetapi ketahuilah, mereka yang mendekati cinta manusia hanya akan memikirkan manusia. Kata novelis terkenal, Ustazah Fatimah Syarha, mereka yang menginginkan perkahwinan sebagai jalan tutup daripada terjebak ke dalam maksiat zina sebenarnya mendedahkan bahawa kehidupan dirinya dekat kepada jalan-jalan zina seperti SMS, calling,dating dan lain-lain. Begitu juga, apabila mereka yang benar-benar menginginkan cinta Allah pastinya melazimi diri dengan perkara yang membawa kepada kebaikan dan mengisi fikiran dengan perkara yang memberi nafas segar terhadap iman.
Jernihkan hati mencari diri.
Kita hanya hamba yang melalui tempat persinggahan sebelum kembali kepadaNya.
Dunia itu penuh tipu daya maka persiapkan diri menghadapiNya.
Cinta itu bukan noda tetapi kitalah yang sering mewarna hitamkan kanvas cinta sendiri.

Peringatan sepenuhnya buat diri.
Kerana saya juga seorang remaja.
Kerana saya juga seorang manusia yang keliru.
Menyedari itu mesti berpegang erat pada prinsip agama.
Sebelum ditarik cinta bercelaru bernafsu.

Ingat, hati itu juga harus kita bina sekental kanak-kanak Palestin yang bangkit mempertahankan agama yang tetap sahaja tersenyum walau dilumuri darah.

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

Cerita CINTA


Sedang aku duduk bersendirian, fikiranku laju bermain dengan pelbagai persoalan. Tiba-tiba aku disapa oleh teman sebilikku, Nurul Iman.

"Assalamualaikum, Shera," katanya kepadaku.

Aku tersenyum sewaktu memandang wajahnya, sungguh lembut dan tenang hati memandang. "Waalaikumsalam," jawabku.

"Nun termenung jauh, sedang berfikir tentang apa?" tanya Iman.

Perlukah aku beritahu dia? Siapakah dia? Adakah berhak dia mengetahui segala isi hatiku walhal kami baru sahaja kenal? Haih.. Entahlah. Apa yang pasti, tidak mampu aku mengeluarkan kata-kata pada saat itu. Hanya senyuman yang mampu aku lemparkan.

Biarpun aku tidak menjawab persoalannya, dia tidak mengambil hati. Malahan, dia masih mengatur bicara untuk memecahkan kesunyian di antara kami. "Hmm.. Mesti awak tengah fikir tentang cinta, kan?"

Aku masih diam membisu. Sungguh mudah dia menebaknya. Apa jelas sangatkah kelihatan mengenai isu itu di rautku? Diukirnya sebuah senyuman di wajahnya yang mulus. Mahu dikatakan dia cantik seperti supermodel, tidak. Mahu dikatakan dia tidak cantik, menarik pula bila dipandang wajahnya. Apa yang pasti aku dapat merasakan satu ketenangan di saat aku menatap wajahnya. Dia kelihatan baik. Kelihatan seperti boleh dipercayai. Senyuman di bibirnya masih terukir.

Dilihatnya wajahku seraya menyambung kata, "Bercinta ni seronokkan?"

Tersengih aku dibuatnya. Mahu sahaja menjawab seronok tapi hati segan pula. Dia seakan mengerti perasaanku yang mungkin agak segan untuk berbicara soal ini. Apatah lagi, aku tidak pernah mengenalinya.

"Rasa macam di awang-awangan. Apa orang kata? Mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur tak lena... Kan?" tanpa jemu dia cuba mendapatkan responku.

"Hmm.. Mungkin," jawabku ringkas.

"Haa? Mungkin?" soalnya disusuli dengan tawa nipis.

Aku hanya mengangguk sahaja tanda setuju. Tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi.

"Awak pernah bercinta?"

"Entahlah. Saya pun tak tahu nak kata macam mana," aku meluahkan kepadanya.

"Kenapa awak cakap macam tu? Awak tak pasti?"

"A'ah. Mahu dikatakan kami bercinta, kami tidak pernah declare pun. Mahu kata tidak, kami berhubungan lagaknya seperti orang yang bercinta. Saya sendiri tak pasti."

"Titt!" Telefonku berbunyi menandakan masuk satu mesej. Terus aku buka dan baca, 'Nenek! Nenek dah sombong kan, sekarang? Asyik busy je. Jom jumpa! :D'

Entah mengapa aku tersenyum membaca mesej yang dihantar oleh Haziq yang ku gelarnya 'atok'. Terus laju jariku menari di atas butang-butang telefon bimbitku, membalas mesej kepada rakanku itu. Sedari sekolah lagi kami memang rapat. Biarpun sering bertengkar, tapi hubungan kami bertambah mesra. Aku berasa senang bila bersamanya. Ada semacam perasaan seronok dan adrenaline ku laju mengalir dalam tubuh di saat aku meluangkan masa bersamanya.

'Ahah. Tak pasal-pasal lah atok ni! Sombong apa ke benda nya? Awat? Rindu eh? :p'

-message sent-

"Dapat mesej dari yang tersayang ke?" soal gadis berlesung pipit itu melenyapkan khayalanku sebentar tadi.

"Isy.. Bukanlah. Kawan je," jawabku tersipu-sipu malu.

"Iye ke?" nadanya seolah mengusikku. "Kalau kawan takkan lah senyum lebar sampai ke telinga?"

"Titt!" -message in-

'Mestilah rindu nenek yang tersayang ni...... :*'

Sekali lagi bibirku mengukir senyuman. Entah kenapa aku tersenyum pabila membaca mesej yang dihantar oleh kawan lelakiku itu. Seolah-olah satu tindakan luar kawal. Seolah-olah adrenaline ku tidak mahu surut pabila ada sahaja perkara yang berkaitan dengannya. Hmm... Aku jadi terfikir mungkinkah aku sedang bercinta tanpa aku sedari? Mungkin inilah yang dikatakan cinta cuma aku masih mahu menafiknnya selagi kami tidak official? Ah! Tak! Tak mungkin! Takkanlah kami bercinta sedangkan kami selalu bertengkar?

Aku ketepikan sebentar telefon tanganku, seraya menjawab persoalan yang diajukan oleh teman sekamarku, "Sungguh, lah. Kitorang kawan, tak couple pun. Hmm.. Kalau kamu nak tahu, dari dulu sampai sekarang memang niat Shera nak cinta pertama dan terakhir untuk suami Shera je. Tak nak lah kongsi dengan orang lain. Apa seronok. Nanti kalau kita dah kahwin, dah tak rasa dah nikmat bercinta. Lagi satu, orang selalu kata cinta pertama paling susah nak lupa tak kira lama mana pun. Sebab first love selalu bagi kesan paling mendalam. Jadi, mestilah Shera nak suami Shera jadi cinta pertama. Tak nak lah bila kahwin nanti terkenang pulak dekat ex-boyfriend ke apa ke, kan?" Panjang lebar aku berikan jawapan. Terasa puas bila dapat beritahu pada orang tentang prinsipku biarpun ditanya berpuluh kali.

Wajahnya begitu lembut, ditambah pula dengan senyuman yang tak pernah lekang daripada bibirnya membuatkan aku senang untuk berbicara soal ini dengannya. Dia kelihatan begitu tenang sekali sebelum meluncurkan kata-kata daripada bibirnya.

"Oh. Baguslah macam tu. Seronok mendengarnya. Sejuk perut ibu mengandung."

Aku tersenyum mendengar setiap tutur bicara yang keluar daripada mulutnya. Kadang, ada timbul sedikit perasaan bangga kerana biarpun aku bukannya daripada keluarga yang alim-alim, yang memakai tudung labuh atau niqab, aku masih lagi berpegang teguh dengan prinsip. Sekurang-kurangnya dapatlah dia mengerti aku juga faham syara'. Aku faham Islam melarang hubungan couple sebelum bernikah.

"Hmm.. Awak, pernah bercinta?" ku tanya gadis kecil molek yang duduk disebelahku. Saja mahu mengujinya.

"Bercinta? Mestilah pernah. Rugi tau orang yang tak pernah bercinta," ujarnya tanpa segan silu.

Kata-katanya itu membuatkan perasaan ingin tahu ku mebuak-buak. Rupa-rupanya orang yang disangka baik ini, yang lembut tutur bahasanya, yang baik budi pekertinya masih juga bergelumang dengan perkara sebegini. Benarlah sangkaanku selama ini. Biar sealim mana pun orang, mesti ada juga yang pernah terlibat dengan benda-benda ini.

"Seriously? Tak tipu?" aku berasa sedikit teruja dengan jawapan yang diberikannya.

"Iya. Buat apa saya nak tipu awak?"

"Wow! Kalau macam tu, story lah kat saya. Siapa boyfriend awak tu? Berapa lama korang dah couple?"

"No... No.. No... Saya lebih suka kalau awak sebut kekasih.. Kekasih hati. Tak syok lah sebut boyfriend sebab saya ramai boyfriend tau.." ujarnya bergurau.

"Ish.. Tak sangka kan... Kamu ni nampak je macam ni. Tapi, ramai boyfriend rupanya. Apa orang kata, alim-alim kucing? Eeee... Gatal......" usikku.

"Lah... Awak pun ramai boyfriend cakap orang. Tu, Rahman, Azree, Farish, Daniel semua tu siapa? Haaa."

Aik? Dikenakan aku semula. Loyar buruk sungguh minah seorang ni. Nasib baik mood aku baik, kalau tak memang kena dengan aku. Ishh......

"Iya lah.. Apa-apa lah cik Nurul Iman bt Yahya oii... Tak habis-habis dengan loyar buruknya tu. Tapi kan, Iman... Kenapa kamu saving sangat ha? Tak pernah nak share kat saya pun pasal kekasih hati kamu tu?"

"Hmm... Ada lah... Cuma awak tu.. Sibuk sangat bermesej dengan teman tapi mesra."

Aku hanya tersipu malu mendengar komennya.

"Awak ingat awak je rindu kat 'atok' awak tu? Saya pun rindu tau dekat cinta hati saya tu. Rinduuuuu sangat. Ish... Tak terkatalah. Rasanya rindu awak kat 'atok' pun tak boleh challenge kerinduan saya kot?"

"Aik... Ni macam dah lain dah ni? Rindu, rindu... Mesti selalu dating kan? Sebab tu rindu macam tak boleh nak berpisah langsung dah ni.. Kan?" aku cuba mengorek dengan lebih mendalam lagi.

"Bravo! You got 10 points for the correct answer!" ujar Iman sambil menepuk-nepuk tangan.

"Ish.. Seriously. Betul, kan kamu selalu dating? Kan kan?"

"Saya serious lah ni... Tiap-tiap kali dapat panggilan daripada cinta saya tu, mesti kena pergi dating lah. No kompromi. Kalau tak, kena marah... Eeee... Takut tau kalau kena marah."

"Garang juga kan kekasih awak tu. Nasib baik lah 'atok' tu reti merajuk je, tak marah-marah."

Dia tersenyum nipis mendengar kata-kataku itu. Iman kemudiannya melabuhkan punggungnya di sebelahku. "Ha, marah tu kan tanda sayang. Kalau awak nak tau... Dia sweet sangat. Hari tu saya kena mouth cavity sebab itu lah. Manis sangat," ujarnya sambil ketawa nipis.

"Hmm. Iya lah... Tapi kan Iman, kenapa Shera tak pernah pun nampak kamu contact dengan dia? I mean, tak pernah pun nampak kamu SMS ke... Call ke... Pelik juga. Kamu ni saja reka cerita eh?"

"Ish.. Tak lah. Memanglah awak tak pernah nampak saya SMS ke, call ke. Sebab saya old school. Baca surat cinta je. Lagipun, kekasih hati selalu je call saya."

"Yeah? Hmm.. Siapa eh dia? Dari tadi kamu cerita tapi tak sebut pun nama dia. Cuba kamu cakap siapa dia. Mana tau saya kenal...."

"Betul ni nak tau?"

"Iya... Mana tau nanti kita boleh keluar sama," ujarku.

"Allah."

Aku terdiam membisu mendengar kalimah itu yang keluar daripada bibirnya. Iman yang dari tadi duduk di sebelahku tersenyum melihat aku terpinga-pinga.

"Mesti Shera terkejut kan kenapa saya cakap macam tu?"

Aku masih terdiam. Terasa seperti dipermainkan pun ada. Kusangkakan dia juga sepertiku. Tapi...

"Tapi.... Tadi kamu kata dia call lah, bagi surat cinta lah, marah lah.... Kamu cerita as if he is a man. Tapi...."

Iman masih mengekalkan senyuman di bibirnya sebelum menjawab persoalan yang bermain di mindaku.

"Shera, setiap kali azan, setiap kali itulah Allah call saya. Kalau saya tak jawab, kalau saya tak 'dating' dengan Dia, tidakkah Dia marah? Lagipun, Allah memang sweet. Sebab Allah tak pernah tinggalkan kita, hambaNya, dalam keadaan yang terkapai-kapai tanpa petunjuk. Sebab tu Allah bagi kita surat cinta iaitu Al-Quran. Allah pun selalu bagi kita hadiah. Hari-hari, setiap detik, setiap waktu. Cuba awak bayangkan kalau Allah tak hadiahkan kita mata. Setiap kali kita nak melihat, terpaksa sewa dengan Allah. Jenuh, kan kita?"

Tiada kata yang dapat aku susun untuk mematahkan hujah teman sebilikku itu. Setiap butir kata yang diluahkannya ada kebenarannya. Aku tunduk malu mendengar apa yang dia perkatakan.

"Hmm.. Memang lah. Tapi, siapa yang nak membujang sampai ke tua? Allah sendiri suruh kita usaha kan dalam apa jua perkara? Jadi, saya cuba mengenali hati budi dia. Lagipun, bukannya kitorang couple..."

"Shera, awak nak tak suami yang baik?" tanyanya lembut.

Aku mengangguk tanda ya.

"Kalau awak nak suami yang baik, awak mesti jadi baik dulu, kan?" tanyanya lagi.

Sekali lagi aku mengangguk tanda setuju.

"Jadi, apa kata sebelum awak bercinta dengan manusia, awak bercinta dengan pemberi cinta dulu. Let Allah be in your heart before anybody or anything else. Lagipun, love story kita kan Allah yang tulis?"

Love story kita Allah yang tulis. Ya, satu pesanan yang akan aku ingat sampai bila-bila. Sekarang, baru aku mengerti... Jangan hanya berangan untuk dapat satu pertemuan yang sweet tetapi, binalah satu percintaan yang sweet dengan Si Pemilik Cinta. Insya-Allah, love story kita akan menjadi sweet.

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك