Saturday, August 20, 2011

KELEBIHAN PUASA DAN BULAN RAMADHAN

Laa ilaha illallah. Muhammadurrasulullah SAW.
Allahuma Solli Wassallim Wabarik A'laih.


Tuan-tuan mulia,
Matlamat puasa ialah TAQWA.

Erti taqwa secara mudah ialah melaksanakan/mentaati keseluruhan suruhan/perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan Allah SWT berpandukan kepada cara yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Taqwa itu berkaitan dengan sikap kepatuhan seseorang terhadap perintah Allah SWT dan RasulNya SAW, baik perintah itu berupa suruhan atau larangan.

Secara ringkas orang yang bertaqwa ialah orang yang menjunjung dan patuh kepada perintah Allah.

"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, moga kamu menjadi orang yang TAQWA." (Al Baqarah: 183)


KELEBIHAN PUASA

Tuan-tuan yang mulia,
Nabi SAW bersabda, "Setiap amalan baik anak Adam adalah untuk dirinya, setiap kebaikan digandakan dengan sepuluh kali ganda bahkan sampai seratus kali ganda. Allah berfirman; kecuali puasa; ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya. Sungguh dia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan juga minumnya demi Aku. Untuk setiap orang yang puasa ada dua kegembiran; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Allah. Perubahan bau mulut orang yang berpuasa lebih baik bagi Allah di bandingkan wangian kasturi". (HR Bukhari dan Muslim).

Nabi SAWbersabda, "Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir". (HR Bukhari)

Nabi SAW bersabda, "Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka." (HR Ibn Majah)

Nabi SAW bersabda, "Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang berpuasa, iaitu pahala orang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit".(HR at-Tirmizi)

Nabi SAW bersabda, "Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha (sia-sia) dan tidak bercakap perkataan yang keji." (HR Hakim, Ibnu Hibban dan Baihaqi)

Nabi SAW bersabda, "Apabila seseorang berpuasa, maka janganlah dia mengucapkan perkataan yang kotor dan jangan pula bertengkar. Sekiranya dia dimaki oleh seseorang atau diajak bergaduh maka hendaklah dia berkata: "Sesungguhnya saya sedang berpuasa." (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap bohong dan berkelakuan buruk ketika berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah SWT, baginya hanya lapar dan dahaga sahaja.” (HR Bukhari)

Nabi SAW bersabda,, "Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadan dengan sungguh-sungguh beriman dan ikhlas kerana

Allah semata-mata, nescaya diampuni Allah SWT dosa-dosanya yang terdahulu".(HR Bukhari)

Nabi SAW bersabda, "Sesungguhnya di dalam syurga itu ada sebuah pintu yang disebut Pintu Rayyan. Semua orang yang berpuasa akan memasukinya pada hari kiamat dan tidak dibenarkan sesiapa pun selain daripada mereka memasukinya. Lalu dikatakan: "Di manakah orang yang berpuasa?" Lantas mereka pun berdiri dan tidak ada seorang pun yang dapat masuk selain orang yang berpuasa. Apabila sekalian orang berpuasa telah masuk, maka ditutuplah dan tiada seorang pun yang dapat memasukinya." (HR Bukhari dan Muslim)


KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

Tuan-tuan yang mulia,
Nabi SAW bersabda, "Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan, adalah penghapus dosa-dosa yang terjadi di antara waktu tersebut jika dijauhi dosa-dosa besar.” (HR Muslim no: 233)

Nabi SAW bersabda, "Sesiapa sempat bertemu bulan Ramadan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauhlah dia dengan Allah SWT" (HR Ibn Hibban)

Nabi SAW bersabda, "Telah datang kepadamu Ramadan, bulan berkah, Allah SWT mewajibkan kamu berpuasa, pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu Neraka ditutup, syaitan diikat, dan di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan. (HR Imam Ahmad dan Imam Nasa’i)

Nabi SAW bersabda, "Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." (HR Muslim)

Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan ikhlas mengharapkan pahala dari Allah SWT, maka dosanya yang lalu akan diampun oleh Allah SWT” (HR Bukhari)

Semoga Allah SWT beri kepada kita kekuatan untuk kita ambil ikhtibar, amal dalam kehidupan kita dan sampaikan kepada setiap individu ummat. Isha Allah.

Wallahu a'lam..
Wassalam



سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك