Teringat kepada suatu kisah, perkahwinan Hanzalah bin Abu Amir.
Pernikahan Hanzalah dengan sepupunya, Jamilah binti Ubay sudah siap
diatur. Kebetulan pula, hari berlangsungnya perkahwinan Hanzalah
bertembung dengan hari peperangan tentera Islam menentang musuh di Bukit
Uhud. Hanzalah bin Abu Amir mendekati Rasulullah s.a.w., “Saya
bercadang menangguhkan sahaja perkahwinan saya malam nanti.” Pada masa
itu, Nabi Muhammad s.a.w. dan tentera-tentera Islam di kota Madinah
sibuk membuat persiapan akhir untuk berperang. “Tidak mengapa, teruskan
sahaja perkahwinan ini,” balas Rasulullah s.a.w.. “Tetapi saya sungguh
berhajat bagi menyertainya, ” Hanzalah bertegas. Rasulullah s.a.w.
berkeras supaya Hanzalah meneruskan perkahwinannya dan memberi cadangan
supaya Hanzalah menyusuli tentera Islam di Bukit Uhud pada keesokan
hari, setelah selesai upacara perkahwinan.
Hanzalah mendiamkan
diri. Ada benarnya saranan Nabi Muhammad itu; perkahwinan ini bukan
sahaja melibatkan dirinya bahkan bakal isterinya juga. Pada malam Jumaat
yang hening, perkahwinan antara Hanzalah bin Abu Amir dan Jamilah binti
Ubay dilangsungkan secara sederhana. Suasana yang hening dan sunyi itu
tidak tenang hingga ke pagi. Kota Madinah tiba-tiba dikejutkn dengan
paluan gendang yang bertubi-tubi. Paluan gendang mengejutkan para
pejuang bersama laungan menyebarkan berita.
“Bersegeralah! Kita bersegera perangi musuh Allah.”
“Berkumpul segera! Keluarlah! Rebutlah syurga Allah!”
“Perang akan bermula!”
Pukulan gendang dan laungan jihad itu mengejutkan pasangan pengantin
yang baru sahaja dinikahkan. Hanzalah bingkas dari tempat tidurnya,
“Saya harus menyertai mereka.” “Bukankah malam ini malam perkahwinan
kita dan Nabi Muhammad mengizinkan kanda berangkat esok?” Soal
isterinya. Hanzalah menjawab tegas, “Saya bukanlah orang yang suka
memberi alasan bagi merebut syurga Allah.”
Jamilah terdiam dan
hanya mampu memerhatikan suaminya bersiap memakai pakaian perang dan
menyelitkan pedang ke pinggangnya. Hanzalah menoleh ke arah isterinya,
“Janganlah bersedih, doakan pemergian saya semoga saya beroleh
kemenangan.” Suami isteri itu berpelukan dan bersalaman. Berat hati
Jamilah melepaskan lelaki yang baru sahaja menjadi suaminya ke medan
perang. Namun, Jamilah menguatkan hatinya dan melepaskannya dengan penuh
redha. “Saya mendoakan kanda beroleh kemenangan.”
Hanzalah
melompat ke atas kudanya dan terus memecut tanpa menoleh ke belakang.
Akhirnya, dia berjaya bergabung dengan tentera Islam yang tiba lebih
awal daripadanya.
Di medan perang, jumlah tentera musuh adalah
seramai tiga ribu orang yang lengkap bersenjata manakala jumlah tentera
Islam hanyalah seramai seribu orang. Perbezaan itu tidak menggugat
sanggar wibawa tentera Islam termasuklah Hanzalah. Dia menghayun
pedangnya menebas leher-leher musuh yang menghampiri dan apabila dia
terpandang Abu Sufyan, panglima tentera Quraisy, Hanzalah menerkam Abu
Sufyan umpama singa lapar. Mereka berlawan pedang dan bergelut; akhirnya
Abu Sufyan sungkur ke tanah. Tatkala Hanzalah mengangkat pedang mahu
menebas leher Abu Sufyan, dengan kuat panglima tentera Quraisy itu
menjerit menarik perhatian tentera Quraisy. Tentera-tentera Quraisy
menyerbu Hanzalah dan Hanzalah tewas, rebah ke bumi.
Sebaik
sahaja perang tamat, tentera Islam yang tercedera diberikan rawatan.
Mayat-mayat yang bergelimpangan dikenalpasti dan nama-nama mereka, tujuh
puluh orang kesemuanya, dicatat. Sedang Nabi Muhammad yang tercedera
dan patah beberapa batang giginya diberi rawatan, beliau mengatakan
sesuatu yang menyentak kalbu, “Saya terlihat antara langit dan bumi,
para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air daripada awan yang
diisikan ke dalam bekas perak.” Abu Said Saidi, antara tentera yang
berada dekat dengan Nabi Muhammad bingkas mencari jenazah Hanzalah.
“Benar kata-kata Nabi Muhammad. Rambutnya masih basah bekas dimandikan!”
Abu Said Saidi menyaksikan ketenangan wajah Hanzalah walaupun beliau
cedera parah di seluruh badannya. Rambutnya basah dan titisan air
mengalir di hujung rambutnya sedang ketika itu matahari terik memancar.
YA ALLAH, LETAKKAN LAH DUNIA DI TANGAN KU DAN BUKAN LAH DI HATI KU. AAMIIN~