Friday, August 26, 2011

Baju Raya Mahal?

بسم الله الرحمن الرحيم


Ramadhan bakal meninggalkan kita. Ramai yang memborong persiapan raya. Apa yang kita 'borong' untuk persiapan akhirat pula?

Terus ke tajuk, BAJU RAYA. Ya! Dah beli ke belum? Warna apa? Berapa pasang? Yang penting berapa harga? Antara soalan yang 'orang-orang kaya' selalu tanya.

Suatu petang, diri ini diberi peluang untuk ke salah sebuah pasar malam. Masa sebelum berbuka, kira-kira pukul 6.30 ptg. Kedua belah kaki terus melangkah meredah lautan manusia. Sesak! Busuk! Tak selesa lah senang cerita. Lantas hati riak lagi takbur membisikkan "leceh betul, tempat ni bukan taste aku". Sedang berjalan kedengaran suara peniaga "singgah dik." Ada juga yang menggunakan bahasa yang tak sesuai bagi diri ini seperti "Hai sayang manis, singgah la beli nasi ayam berempah ni". Diri ini malas melayan dan sapaan dibalas dengan suara hati "lelaki macam ni nak berniaga? Rambut serabut, baju tak kemas" beserta riak muka yang begitu bongkak sekali. Diri yang penuh dengan perasaan sombong terus melangkah sehingga suatu saat melewati sebuah gerai yang menjual pakaian yang tidak asing lagi. Baju raya.. Baju kurung.. Mata yang dikurniakan Allah terus melihat pada tanda harga yang ditulis di atas cebisan kotak yang telah dipotong segi 4. Yang tertulis "Baju raya sepasang RM5". Serius beb, ada harga baju semurah tu zaman sekarang ni. Hati kotor ini terus tergelak bagai digeletek. "Hahaha.. Baju macam ni pun nak jual? Corak old season kot. Siapa nak beli? Huhuhu." Ligat hati mengutuk, mencaci hampir semua peniaga yang mencari rezeki halal di situ. Kaki terus melangkah dan berhenti di sebuah gerai yang menjual tudung berbagai warna, tetapi corak sikit pun tak kena dengan taste bak kata orang. Lantas dahi berkerut, hati berkata "Buruk, ish, tempat apa la jual benda-benda macam ni?"

Setelah penat mencaci di dalam hati. Diri ini mengambil keputusan untuk keluar dari kawasan yang dianggap jijik. Langkah diayun dan melewati jalan yang mula-mula dilalui. Melewati gerai nasi ayam berempah, gerai sayur, gerai ikan. Busuk! Hanyir! Sehinggalah diri yang penuh sombong dan riak ini melewati gerai baju raya RM5 tadi. Betapa hati mula menyesal menghamburkan segala caci maki, apabila sepasang mata melihat sebuah keluarga begitu teruja memilih baju raya. Si ibu hanya melihat anak-anaknya memilih, si ayah tersenyum melihat karenah sambil membantu mengacukan baju raya kepada salah seorang anaknya. Lantas diri ini terasa ingin melihat gelagat mereka. Sengaja berhenti konon melihat baju-baju raya tersebut, konon ingin memilih sambil 'buat-buat memilih', telinga dipasang dan mendengar dialog mereka yang membuatkan diri begitu sayu. "Ayah, kakak nak yang ini. Lawanya!" "Ya, lawa. Ambillah kakak." "Ibu, abang nak ni. Adik pun pilih sama dengan abang." "Yelah abang. Tengok dulu muat ke tak. Nanti membazir.. Duit banyak lagi nak guna untuk benda lain ni." Kelihatan begitu gembira riak wajah mereka. Terus anak sungai mengalir dari mata yang dimiliki manusia keji. Allah...... Aku selalu lupa untuk bersyukur. Aku selalu takbur. Aku selalu angkuh dengan pinjaman-Mu. Aku yang miskin sebenarnya. Miskin iman dan kasih sayang. Sedang mereka membeli baju berharga RM5 begitu gembira tanda syukur, tetapi tidak bagi aku. Baju raya aku selalu berharga RM100 ke atas sepasang, kalau tak mahu pakai lagi aku biar. Lama-kelamaan kain buruk juga jadinya. Aku selalu mengeluh baju tak cantik andai ada yang lagi cantik. Andai mama pilih untukku dan aku rasa tak berkenan di hati aku mula merungut. Allah....... Betapa kejinya aku di sisi-Mu. Aku menghina hamba-Mu yang mencari rezeki yang halal. Air mata cuba disorok agar tak kelihatan orang sekeliling. Mungkin ini 'teguran' dari sang Khaliq di atas diri yang selalu lupa daratan, lupa akan asal-usul dan tempat kembali.

Azan maghrib berkumandang menandakan telah masuk waktu berbuka puasa. Diri terus melangkah ke sebuah restoran berdekatan. Ada cerita lain pula. Andai diizinkan Allah, akan ku ceritakan juga di sini.

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

2 comments:

  1. masyaALLAH..semoga kita sentiasa bersyukur..gunakanlah nikmat itu dgn sebaik mungkin:0

    ReplyDelete
  2. Hamdulillah. In$haAllah ukht. Amen ya Rabb

    ReplyDelete