Monday, April 30, 2012

Isu Bersih





Sebelum bersungguh-sungguh ingin menghapuskan korupsi pada pemerintah, rakyat harus menghapuskan korupsi pada diri mereka sendiri. Berapa ramaikah rakyat yang mengabaikan solat namun mengharapkan pemimpin seperti Umar Abdul Aziz? Berapa ramaikah rakyat yang menipu dalam urusan perniagaan namun mengharapkan pemimpin yang jujur dalam harta negara ? Berapa ramaikah rakyat yang sangat kedekut dalam bersedekah namun mengharapkan mereka mendapat harta negara dengan saksama ? Berapa ramaikah rakyat yang melanggar undang-undang keselamatan jalanraya namun mengharapkan mahkamah yang telus? Berapa ramaikah rakyat yang tidak peduli terhadap mesej kenabian lalu mengharapkan pemimpin yang memimpin dengan jalan kenabian ?

Sebelum rakyat bising mereka ditipu oleh Kerajaan, semak dulu adakah rakyat sudah berlaku jujur dalam urusan mereka dengan kerajaan. Masih ada lagikah rakyat yang tipu ketika 'punch card' di tempat kerja. Masih ada lagikah rakyat yang tipu 'office hour' dengan meng'ular'. Masih ada lagikah rakyat yang ambil M.C tanpa ada apa-apa keuzuran. Masih ada lagikah rakyat yang tipu 'claim' untuk out station. Masih ada lagikah rakyat yang gunakan harta pejabat untuk kegunaan peribadi. Jika rakyat masih tipu kerajaan, maka tidak pelik kerajaan juga akan tipu rakyat.

Telah menjadi Sunnatullah bahawa kaum-kaum yang zalim itu diperintah oleh orang yang zalim.

Firman Allah: “Dan (penduduk) negeri itu telah Kami binasakan ketika mereka berbuat kezaliman.” |Surah Al Kahfi, 18: 59|

Al-Walid ath-Tharthusi rahimahullah berkata, “Sehingga sekarang masih terdengar orang-orang berkata, “amalan- amalan kalian adalah pekerja-pekerja kalian”, sebagaimana kalian sekarang ini; maka seperti itulah kalian akan dipimpin."

Di dalam al-Qur’an terdapat ayat yang semakna dengan perkara ini.

“Dan demikian kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menguasa sebahagian yang lain disebabkan apa-apa yang mereka (masyarakat) usahakan.” |Surah Al-An’am, 6: 129|

Imam Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan |berkenaan ayat tersebut|

“Tiada orang yang zalim pun melainkan ia akan diuji dengan orang yang zalim. Dijadikan dari kalangan orang-orang yang zalim, mereka dikuasai oleh orang- orang-orang yang zalim lainnya Sebahagian mereka dihancurkan dengan sebahagian lainnya, dan sebahagian mereka disiksa dengan sebahagian lainnya, sebagai balasan atas kezaliman mereka.” |Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Terbitan Pustaka Ibnu katsir, jil 3, m/s. 430|

“Wahai rakyatku! Bersikap adillah kepada kami! (Bagaimana mungkin) kalian mahukan dari diri kami sebagaimana yang dilaksanakan oleh Abu Bakar dan Umar, sedangkan kalian tidak pun mengerjakan sebagaimana apa yang mereka amalkan?!” |Siraj al-Muluk, m/s. 100-101|.

"Pemimpin itu asalnya adalah seorang RAKYAT. Zalimnya seorang PEMIMPIN disebabkan zalimnya seorang RAKYAT, begitu juga sebaliknya."

Mari kita renungkan, setakat mana amalan kita sebelum kita mengharapkan amalan baik dari Pemerintah?



سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

Mahabbah

`*•Yaa Rabbi•*´¯
Ajarilah kami bagaimana memberi sebelum meminta, berfikir sebelum bertindak, santun dalam berbicara, tenang ketika gundah, diam ketika emosi melanda, bersabar dalam setiap ujian. Jadikanlah kami orang yg selembut Abu Bakar Ash-Shiddiq, sebijaksana Umar bin Khattab, sedermawan Utsman bin Affan, sepintar Ali bin Abi Thalib, sesederhana Bilal, setegar Khalid bin Walid radliallahu'anhum. Amiin ya Rabbal'alamin ღ 


Cinta itu indah, jika cinta itu kerana ALLAH kerana cinta itu akan sampai kepada ALLAH dahulu kemudian barulah kepada sesiapa sahaja yang kamu cintai.

Rindu itu indah, jika rindu itu kerana ALLAH kerana rindu itu akan sampai kepada ALLAH dahulu kemudian barulah kepada sesiapa sahaja yang kamu rindui.

Kegembiraan itu indah jika gembira itu kerana ALLAH kerana gembira itu akan sampai kepada ALLAH dahulu kemudian barulah kepada apa sahaja yang membuat kamu gembira.

JUJURLAH kepada ALLAH, atas segala yang menimpa kamu, atas segala yang diperbuatkan oleh kamu dan KEMBALIKANLAH SEGALA PERASAAN itu kepada ALLAH kembali kerana ALLAH jua lah yang memberi segala perasaan itu.

Jika ia MEMBERI KEBAIKAN dan menghapuskan dosa-dosa untuk kamu, menyempunakan diri kamu di kemudian hari, maka REDHALAH dengan perasaan itu. mohonlah, berdoalah agar ALLAH perbaiki diri kamu dan BERUSAHA lah untuk MUHASABAH diri. cari di mana KELALAIAN kamu selama ini dan BERUSAHALAH memperbaiki diri untuk jadi lebih baik.

Jika perasaan itu MENAMBAHKAN DOSA-DOSA kamu, maka MOHONLAH DIHILANGKAN hanya kerana takut akan MURKA, AZAB ALLAH di 'sana' nanti.

SERAHLAH DIRI kepada ALLAH dalam APA sahaja yang berlaku kepada kamu. InshaALLAH, ALLAH akan mengembalikan kembali perasaan-perasaan kamu itu mengikut apa yang TERBAIK untuk kamu.

Percayalah, ALLAH TIDAK PERNAH menyiksa kamu kerana bukan itu tujuan kamu diciptakan.

ALLAH sentiasa merindui dan mencintai kamu, hamba-hambaNYA, lebih dari segala kehidupan yang ada di muka bumi ini.

ALLAH memberi perasaan-perasaan itu untuk memberi 'isyarat' CINTA dan KASIH SAYANG NYA untuk kamu KEMBALI kepada NYA. kembali tenang HANYA jika BERSAMANYA.

Jika masih belum ketemui 'keindahan' itu, sekurang-kurangnya kamu mendapat REDHA ALLAH kerana kamu MENGINGATI DIA dan BERNIAT HANYA KERANA DIA di setiap apa sahaja yang menimpa kamu.

Apakah yang lebih bernilai dari REDHA ALLAH? dari RAHMAT ALLAH? dari KETENANGAN daripada ALLAH? dari perasaan KEINDAHAN hanya dengan 'BERSAMA' ALLAH?

Insha ALLAH, kamu, kita semua akan ketemu ‘keindahan’ itu jika kerana ALLAH. percayalah…

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

Monday, April 23, 2012

PENGANTIN PERGI KE MEDAN JIHAD



Teringat kepada suatu kisah, perkahwinan Hanzalah bin Abu Amir. Pernikahan Hanzalah dengan sepupunya, Jamilah binti Ubay sudah siap diatur. Kebetulan pula, hari berlangsungnya perkahwinan Hanzalah bertembung dengan hari peperangan tentera Islam menentang musuh di Bukit Uhud. Hanzalah bin Abu Amir mendekati Rasulullah s.a.w., “Saya bercadang menangguhkan sahaja perkahwinan saya malam nanti.” Pada masa itu, Nabi Muhammad s.a.w. dan tentera-tentera Islam di kota Madinah sibuk membuat persiapan akhir untuk berperang. “Tidak mengapa, teruskan sahaja perkahwinan ini,” balas Rasulullah s.a.w.. “Tetapi saya sungguh berhajat bagi menyertainya, ” Hanzalah bertegas. Rasulullah s.a.w. berkeras supaya Hanzalah meneruskan perkahwinannya dan memberi cadangan supaya Hanzalah menyusuli tentera Islam di Bukit Uhud pada keesokan hari, setelah selesai upacara perkahwinan.

Hanzalah mendiamkan diri. Ada benarnya saranan Nabi Muhammad itu; perkahwinan ini bukan sahaja melibatkan dirinya bahkan bakal isterinya juga. Pada malam Jumaat yang hening, perkahwinan antara Hanzalah bin Abu Amir dan Jamilah binti Ubay dilangsungkan secara sederhana. Suasana yang hening dan sunyi itu tidak tenang hingga ke pagi. Kota Madinah tiba-tiba dikejutkn dengan paluan gendang yang bertubi-tubi. Paluan gendang mengejutkan para pejuang bersama laungan menyebarkan berita.

“Bersegeralah! Kita bersegera perangi musuh Allah.”

“Berkumpul segera! Keluarlah! Rebutlah syurga Allah!”

“Perang akan bermula!”

Pukulan gendang dan laungan jihad itu mengejutkan pasangan pengantin yang baru sahaja dinikahkan. Hanzalah bingkas dari tempat tidurnya, “Saya harus menyertai mereka.” “Bukankah malam ini malam perkahwinan kita dan Nabi Muhammad mengizinkan kanda berangkat esok?” Soal isterinya. Hanzalah menjawab tegas, “Saya bukanlah orang yang suka memberi alasan bagi merebut syurga Allah.”

Jamilah terdiam dan hanya mampu memerhatikan suaminya bersiap memakai pakaian perang dan menyelitkan pedang ke pinggangnya. Hanzalah menoleh ke arah isterinya, “Janganlah bersedih, doakan pemergian saya semoga saya beroleh kemenangan.” Suami isteri itu berpelukan dan bersalaman. Berat hati Jamilah melepaskan lelaki yang baru sahaja menjadi suaminya ke medan perang. Namun, Jamilah menguatkan hatinya dan melepaskannya dengan penuh redha. “Saya mendoakan kanda beroleh kemenangan.”

Hanzalah melompat ke atas kudanya dan terus memecut tanpa menoleh ke belakang. Akhirnya, dia berjaya bergabung dengan tentera Islam yang tiba lebih awal daripadanya.

Di medan perang, jumlah tentera musuh adalah seramai tiga ribu orang yang lengkap bersenjata manakala jumlah tentera Islam hanyalah seramai seribu orang. Perbezaan itu tidak menggugat sanggar wibawa tentera Islam termasuklah Hanzalah. Dia menghayun pedangnya menebas leher-leher musuh yang menghampiri dan apabila dia terpandang Abu Sufyan, panglima tentera Quraisy, Hanzalah menerkam Abu Sufyan umpama singa lapar. Mereka berlawan pedang dan bergelut; akhirnya Abu Sufyan sungkur ke tanah. Tatkala Hanzalah mengangkat pedang mahu menebas leher Abu Sufyan, dengan kuat panglima tentera Quraisy itu menjerit menarik perhatian tentera Quraisy. Tentera-tentera Quraisy menyerbu Hanzalah dan Hanzalah tewas, rebah ke bumi.

Sebaik sahaja perang tamat, tentera Islam yang tercedera diberikan rawatan. Mayat-mayat yang bergelimpangan dikenalpasti dan nama-nama mereka, tujuh puluh orang kesemuanya, dicatat. Sedang Nabi Muhammad yang tercedera dan patah beberapa batang giginya diberi rawatan, beliau mengatakan sesuatu yang menyentak kalbu, “Saya terlihat antara langit dan bumi, para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air daripada awan yang diisikan ke dalam bekas perak.” Abu Said Saidi, antara tentera yang berada dekat dengan Nabi Muhammad bingkas mencari jenazah Hanzalah. “Benar kata-kata Nabi Muhammad. Rambutnya masih basah bekas dimandikan!” Abu Said Saidi menyaksikan ketenangan wajah Hanzalah walaupun beliau cedera parah di seluruh badannya. Rambutnya basah dan titisan air mengalir di hujung rambutnya sedang ketika itu matahari terik memancar.


YA ALLAH, LETAKKAN LAH DUNIA DI TANGAN KU DAN BUKAN LAH DI HATI KU. AAMIIN~

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

Sunday, April 22, 2012

Mampukah aku?


Mampukah aku menjadi seperti Siti Khadijah?
Agung cintanya pada Allah dan Rasulullah
Hartanya diperjuangkan ke jalan fisabilillah
Penawar hati kekasih Allah
Susah dan senang rela bersama.

Dapatkah ku didik jiwa seperti Siti Aishah?
Isteri Rasulullah yang bijak
Pendorong kesusahan dan penderitaan
Tiada sukar untuk dilaksanakan.

Mengalir air mataku
Melihat pengorbanan puteri solehah Siti Fatimah

Akur dalam setiap perintah
Taat dengan abuyanya, yang sentiasa berjuang
Tiada memiliki harta dunia
Layaklah dia sebagai wanita penghulu syurga...

Ketika aku marah
Inginku intip serpihan sabar
Dari catatan hidup Siti Sarah.

Moga tabah jiwaku
Setabah umi Nabi Ismail
Mengendong bayinya yang masih merah
Mencari air penghilang dahaga

Di terik padang pasir merak
Ditinggalkan suami akur tanpa bantah
Pengharapannya hanya pada Allah
Itulah wanita Siti Hajar.

Mampukah aku menjadi wanita solehah?
Mati dalam keunggulan iman
Bersinar indah, harum tersebar
Bagai wanginya pusara Masyitah.

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

لا اله الا انت سبحانك اني كنت من الظالمين



Bismillahirrahmanirrahim.
Dahsyatnya Doa Nabi Yunus alayhissalam.
Nabi Yunus alayhissalam diutus oleh Allah swt. kepada masyarakat Naynawa, yang terkenal dengan kekafirannya. Nampaknya, Nabi Yunus kurang sabar dengan perlakuan kaumnya. Dalam keadaan kesal, ia pergi meninggalkan kaumnya menuju tepi laut. Kemudian ia menumpang kapal yang akan berlayar. Di tengah lautan, kapal diterpa badai dan angin kencang. Untuk menghindari kapal karam, muatan kapal harus dikurangi. Semua penumpang kapal sepakat untuk melakukan undian. Siapa yang namanya keluar, maka dialah yang harus dilemparkan ke lautan. Ternyata, yang keluar adalah nama Nabi Yunus. Akhirnya, Nabi Yunus menceburkan dirinya ke lautan, dan ia ditelan ikan besar. Al-Quran menyebut ikan itu dengan Hut atau Nun. Namun, Allah swt. mewahyukan ikan itu untuk tidak memakan tubuh Nabi Yunus.
Ada yang mengatakan Yunus a.s. tinggal di dalam perut ikan selama 3 hari, 7 hari, bahkan 40 hari. Selama itu ia berdoa kepada Allah swt., ‘Allahumma, la ilaha illa anta. Subhanaka, inni kuntu minazzhalimin – ya Allah, tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau. Sungguh aku ini termasuk orang-orang yang zalim’.
Doa Yunus menembus Arsy, sampai-sampai para malaikat berkata, ‘Ya Rabb, sepertinya ini adalah suara orang lemah yang sudah dikenali, yang datang dari negeri yang jauh dan asing’. Allah bertanya, ‘Tahukan kalian, suara siapakah itu?’ Malaikat menjawab, ‘Suara siapakah itu?’ Allah berkata, ‘Itu adalah suara Yunus, hamba-Ku’. Malaikat berkata, ‘Yunus yang amalnya senantiasa naik ke langit dan doanya dikabulkan? Ya Rabb, tidakkah Engkau menaruh belas-kasih padanya lantaran dia senantiasa memuji-Mu di saat senang, dengan begitu Engkau selamatkan ia di saat terjepit seperti ini?’ Allah menjawab, ‘Ya, tentu saja’. Maka, Allah memerintahkan kepada ikan hut untuk melemparkan Yunus ke daerah tandus.
Yunus terdampar di sebuah pulau yang tandus, dalam keadaan lemah. Lalu, Allah mengembalikan kekuatannya dengan menumbuhkan pohon labu di dekatnya. Bukan hanya itu, Allah mengembalikan seribu umatnya dalam keadaan beriman, dan Allah berikan kemakmuran hidup kepada mereka. (Q.s. as-Shaffat/37: 145-148)
Doa Nabi Yunus adalah salah satu doa mustajab. Kita dianjurkan untuk sering membacanya, lebih-lebih lagi di saat kita mengalami kesulitan. Selangilah ucapan talbiyah, musahabah dengan istighfar. Sentiasa teringat dengan doa Nabi Yunus ketika berada di perut ikan Nun, ‘La ilaha illa anta, subhanaka inni kuntu minazzhalimin’. Doa doa berkali-kali dengan penuh pengharapan kepada ALLAH SWT. ALLAH MAHA KUASA, makhluk takda kuasa langsung. Doa doa, di baca berulang-ulang kali. Suasana menjadi syahdu. Suara talbiyah, istighfar, dan doa Nabi Yunus terus di alunkan dengan begitu khusyu’, sepertinya tidak mampu menahan tetesan air mata, bahkan esakan seperti tiada tanda untuk henti.
Syukur alhamdulillah, doa menembus Arsy! Walau hati mempunyai 1001 jenis rasa, ALLAH SWT masih memberikan rasa lega, tatkala walau hanya dapat berasa tenang dalam menunaikan solat.
La ilaha illa anta. Subhanaka, inni kuntu minazzhalimin… Tidak ada tuhan selain-Mu. Maha Suci Engkau. Sungguh, aku ini sudah berlaku zalim…

Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun Nun (gelaran bagi Nabi Yunus), ketika dia pergiwhale.jpg (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” [al-Anbiya’ 21:87]
Sedikit Latarbelakang Kisah Nabi Yunus.
          Nabi Yunus bin Matta ialah salah seorang Rasul Allah [al-Shaffat 37:139]. Ketika diutus kepada kaumnya, beliau marah atas keengganan mereka untuk menerima dakwah tauhid yang disampaikannya. Justeru dalam keadaan marah, beliau meninggalkan kaumnya dan menaiki kapal. Sayang sekali dalam pelayaran, kapal tersebut agak sarat dengan muatan sehingga hampir tenggelam. Para penumpang melakukan undian, siapakah yang perlu dibuang ke laut bagi meringankan bebanan kapal. Nabi Yunus turut mengundi lalu kalah, maka beliau terpaksa terjun dari kapal itu ke lautan luas.
          Di dalam lautan luas, Nabi Yunus ditelan pula oleh sebuah ikan yang besar, kemungkinan salah satu dari spesis ikan paus. Dalam perut ikan yang gelap-gelita itulah, Nabi Yunus menyedari kesalahannya melarikan diri dari misi dakwahnya, lalu banyak berdoa dan berzikir kepada Allah dengan kalimah “La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin.” Maka dengan doa ini, Allah berfirman: “Maka Kami kabulkan permohonan doanya dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya dan demikianlah kami selamatkan orang-orang yang beriman.” [al-Anbiya’ 21:88]
          Seandainya Nabi Yunus tidak mengingati Allah dengan doa tersebut, maka Allah menyatakan: “Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah, tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.” [al-Shaffat 37: 142-143]
          Apakah rahsia di sebalik doa “La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin” yang secara zahirnya seperti ringan disebut, mudah dihafal? Bagaimana mungkin satu doa seperti ini dapat menyelematkan seseorang dari musibah yang amat besar, sebesar ditelan oleh ikan paus? Adakah doa ini khusus untuk Nabi Yunus atau umum untuk semua umat Islam? Demikianlah beberapa rahsia dan misteri yang ingin saya kongsikan seterusnya.
Rahsia 1:
Rahsia pertama, perhatikan bahawa doa ini dibuka dengan kalimah tauhid “Tiada Tuhan melainkan Allah”. Kalimah tauhid tidak sekadar bermaksud tiada tuhan yang berhak aku sembah melainkan Allah, tetapi dalam konteks ini juga bermaksud tiada tuhan yang patut aku mengadu, mengharapkan keampunan dan menghajatkan keselamatan melainkan Allah. Pembukaan seperti ini membuktikan kemantapan dan ketulenan tauhid Nabi Yunus di mana beliau tidak mengadu, merungut dan berharap kepada sesiapa dan apa jua melainkan kepada Allah sahaja.
Ini merupakan manhaj para Rasul dan Nabi yang mesti kita ikuti. Perhatikan – sebagai contoh lain – sikap Nabi Ayyub ketika beliau ditimpa penyakit. Beliau tidak mengadu kepada para doktor atau selainnya, tetapi mengadu kepada Allah sahaja: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayyub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.” [al-Anbiya 21:83]
Rahsia 2:
Seterusnya Nabi Yunus mengucapkan “Maha Suci Engkau (ya Allah)”, bererti mensucikan Allah dari sebarang bentuk kezaliman atau penganiayaan. Lebih mendalam, Nabi Yunus menyucikan Allah bahawa apa yang menimpanya saat itu (ditelan oleh ikan paus) bukanlah merupakan satu bentuk penganiayaan oleh Allah ke atas dirinya.
Penyucian ini penting ditegaskan kerana kadangkala apabila ditimpa kesusahan, kita marah atau menyalahkan Allah. Malah kita menuduh Allah sebagai konon sengaja menganiaya diri kita. Maha Suci Allah dari menganiaya manusia, tetapi manusialah yang menganiaya diri mereka sendiri: “Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” [al-Nahl 16:118]
Rahsia 3:
Tanpa keberatan, tanpa alasan yang berlapik-lapik, Nabi Yunus terus mengaku kesalahannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” Nabi Yunus tidak terus meminta ampun kepada Allah, sebaliknya memilih cara yang lebih lembut, beradab lagi merendah diri, yakni dengan mengakui kesalahan dirinya sendiri.
Selain itu Nabi Yunus sedar bahawa kesusahan yang menimpanya saat itu, iaitu ditelan oleh ikan paus, merupakan kesan dari kesalahan dirinya sendiri yang melarikan diri dari tugas dakwah yang Allah amanahkan kepadanya. Merupakan sesuatu yang sedia dimaklumi bahawa salah satu faktor seseorang itu ditimpa kesusahan dan kesulitan ialah kerana dosa-dosa hasil dari kesalahan yang pernah dia lakukan sendiri. Allah menyatakan hakikat ini:
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” [al-Shura 42:30]
          Demikianlah tiga rahsia di sebalik kemujaraban doa Nabi Yunus. Ia bukan sekadar ucapan yang ringan di mulut lagi mudah dihafal, tetapi ucapan yang memantapkan tauhid, mensucikan Allah dan mengakui kesalahan diri sendiri sekaligus mengisyaratkan pemohonan ampun. Marilah kita sama-sama mengamalkannya ketika susah dan senang sambil memerhatikan rahsia-rahsia di sebaliknya.

Di saat engkau bersedih, ingatlah bahawa ALLAH selalu punya cara untuk memberikan rasa bahagia di sela-sela kesedihan yang melanda dirimu.

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك