Wednesday, October 5, 2011

Alasan2 Tentang Tutup Aurat


Pernahkah anda menasihat @ menegur kawan-kawan kita yang tidak menutup aurat? Mari kita tengok apakah jawapan yang selalu digunakan oleh wanita yang enggan menutup aurat. Bagaimana pula ayat @ jawapan yang mungkin sesuai untuk mereka.
 

1. Semua yang tutup aurat, pasti masuk syurga ke?
  • Setiap umat Islam perlu beramal di sepanjang hayatnya kerana tiada seorang pun yang pasti dirinya akan memasuki syurga. Namun apa yang pasti, tidak menutup aurat, neraka menantinya.
Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W ketika baginda dalam Israk dan Mikraj yang berbunyi "Aku menjenguk ke dalam neraka, maka kulihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, yang demikian disebabkan oleh kerana kurang taat kepada Allah dan Rasulullah dan suami mereka dan kerana banyak bertabarruj dedah aurat dan berhias-hias".

2. Tudung labuh pun bukan baik sangat, buat dosa jugak, mengumpat orang, maksiat & sebagainya.
  • Bila Iblis tidak mahu mengikut perintah Allah untuk bersujud kepada Adam, dia menyalahkan perintah Allah itu. "Kenapa pula aku perlu sujud, aku lebih baik dan mulia". Samalah dengan tudung. Yang bertudung pula yang disalahkan, " pakai tudung tak semestinya baik..." 
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Al-Ma’idah: 2)

3. Macamlah kau bagus sangat nak tegur aku. Kau dulu lagi jahat.
  • Tidak tersabit larangan dari Nabi untuk seseorang yang bahkan baru masuk Islam untuk pergi berdakwah kepada kaumnya. Dakwah itu satu tuntutan Islam. Selagi kamu Islam, dakwah tu diwajibkan walaupun kamu sendiri tidak sempurna. Sekurang-kurangnya, yang menegur itu telah insaf dan bertaubat. 
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu dari pahala-pahala mereka, dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak kejalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka."

4. Walaupun kami berpakai seksi, tapi hati kami baik.
  • Adakah kamu mendakwa diri kamu mempunyai hati yang suci, iman yang tinggi dan ia sudah cukup menjamin maruah diri kamu tanpa perlu menutup aurat dan kembali ke jalan Allah S.W.T?
Rasulullah S.A.W pernah bersabda ertinya: “Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati” (Riwayat Muslim)

5. Pakaian jarang @ ketat, itu hak kami. Kalau tak suka jangan tengok.
  • Adakah kamu menjamin bahawa semua "Lekaki Ajnabi" mempunyai hati suci dan iman yang tinggi untuk menahan godaan syaitan serta nafsu yang membuak-buak?
Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "... dan janganlah kamu memperlihatkan perhiasan tubuh kamu kecuali yang zahir daripadanya..." (An-Nur: 31)

6. Kami rasa pakaian kami tidak seksi. Terpulang kepada individu yang memandang kami.
  • Seksi atau tidak, kamu tetap berdosa walaupun hanya mendedahkan sehelai rambut @ bentuk tubuh kamu.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:"... dan janganlah kamu memperlihatkan perhiasan tubuh kamu melainkan suami kamu, bapa kamu, bapa mertua kamu, anak-anak kamu, anak saudara kamu, saudara-saudara perempuan kamu, perempuan-perempuan Islam atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan..." (An-Nur:31)

7. Walaupun kami tidak bertudung, kami tetap sembahyang dan berpuasa.
  • Adakah kamu yakin bahawa seorang wanita Islam dijaminkan syurga dengan hanya bersolat 5 waktu dan berpuasa? Bagaimana dengan tuntutan Islam yang lain? 
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Perempuan-perempuan yang memakai pakaian tetapi masih seperti telanjang (dedah aurat) sehingga memalingkan pandangan lelaki ajnabi atas mereka, kepala mereka seperti bonggol unta Khurasan dan tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya pun" (Riwayat Muslim).

8. Suka hati kamilah nak berpakaian macam ni. Kami tak susahkan hidup orang lain.
  • Kamu salah, sebenarnya kamu telah menyusahkan ibu-bapa kamu, abang-abang kamu, adik-adik kamu, suami kamu serta orang lain, dengan menarik mereka ke neraka bersama kamu disebabkan mereka tidak menegur dan gagal mendidik kamu. 
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan dan isteri-isteri orang mukmin (yang benar-benar beriman), hendaklah mereka menghulurkan jilbab-jilbab mereka keseluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih dikenali, kerana mereka tidak diganggu, dan Allah maha pengampun lagi maha Penyayang" (Al-Ahzab: 59)

9. Apa yang kami pakai, ini antara kami dengan Tuhan.
  • Adakah ini jawapan yang akan kamu berikan pada Mungkar dan Nangkir sewaktu disoal mengenai segala perintah Allah S.W.T nanti?
Firman Allah S.W.T yang bermaksud; “ Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina." (An-Nisa:14)

10. Kami berpakai seksi macam ni, sebab ikut arahan photographer @ pengarah filem untuk disesuaikan dalam scene demi mencari rezeki yang halal.
  • Kamu telah meletakkan arahan-arahan mereka itu lebih tinggi berbanding perintah Allah S.W.T. Adakah mencari rezeki dengan mengengkari perintah Allah S.W.T itu adalah sesuatu yang halal di sisi Islam? 
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “ Sesungguhnya roh al-Qudus telah datang kepada aku memberitahu bahawa seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah S.W.T. kepadanya. Maka takutlah kepada Allah S.W.T. dan berusahalah dengan baik; dan lambatnya datang sesuatu rezeki itu janganlah menjadi pendorong kepada kamu untuk melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah S.W.T. tidak akan dapat diperolehi melainkan dengan cara ketaatan.” (Riwayat Ibn Majah dan al- Tabrani)

11. Bukan kami tak mahu menutup aurat, cuma masih belum sampai seru.
  • Berdoalah supaya seruan keinsafan itu datang sebelum tibanya Izrail.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “...dan juga orang-orang Yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada Yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji Yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”. (Al-'Imran: 135)

12. Takkan nak buat perubahan secara drastik? Slow-slow la...
  • Sewaktu malaikat Izrail menjalankan tugasnya mencabut nyawa makhluk-makhluk dunia, ianya akan turun ke dunia bersama-sama dengan dua kumpulan malaikat iaitu malaikat Rahmat dan malaikat Azab. Kumpulan manakah yang akan kamu pohon untuk diperlahankan...?
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup ‘aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”. (Al-A‘raaf: 26)

13. Menutup aurat tu bagus, tapi kami tidak mahu hipokrit kerana tiada keikhlasan melakukannya.
  • Inilah punca sebenar kerosakan di dalam Islam, keikhlasan beragama Islam telah dititikberatkan mengatasi seruan Islam itu sendiri.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Aku. Rahmat-Ku sudah mendahului kemurkaan-Ku. Barang sesiapa yang naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba dan utusan-Nya, nescaya ia berhak mendapat syurga.” (Riwayat Al-Daimali)


FAHAMAN SONGSANG WANITA MENGENAI AURAT

Fahaman Pertama:
  • Menutup aurat itu adalah dengan memakai tudung sahaja.

Fahaman Kedua:
  • Bertudung tetapi berbaju lengan pendek.

Fahaman Ketiga:
  • Bertudung tetapi berbaju kebarung yang terbelah kainnya.

Fahaman Keempat:
  • Bertudung tetapi baju sendat, sempit dan nipis sehingga memaparkan bentuk tubuh yang menggoda.

Fahaman Kelima:
  • Bertudung tetapi amat longgar sehingga menampakkan jambul atau hujung rambutnya.

Fahaman Keenam:
  • Bertudung tetapi hanya di pejabat. Tidak bertudung di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

Fahaman Ketujuh:
  • Bertudung tetapi tudungnya diselitkan ke belakang leher sehingga mendedahkan bentuk dadanya.

Fahaman Kelapan:
  • Bertudung tetapi dengan kain tudungnya yang nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, dan dadanya.

RENUNGAN KAUM LELAKI

Islam mengangkat martabat kaum wanita di tempat yang tinggi yang selayaknya mengikut fitrah kejadian dan penciptaan mereka oleh Allah SWT. Seorang wanita adalah pelengkap dan sememangnya istimewa disisi seorang lelaki. Tetapi ingatlah wahai lelaki, kamu sebenarnya adalah istimewa disisi Allah, maka dengan sebab itu Allah mengangkat kamu menjadi pemimpin.

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap empat (4) golongan wanita iaitu isteri, ibu, anak perempuan dan saudara perempuan. Oleh hal yang demikian, jagalah dan hargailah wanita sebaik-baiknya supaya kelak kita dapat pulang mengadap Allah dalam keadaan istimewa disisiNYA..

Marilah kita sama-sama bertaubat sementara masih belum terlambat. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang sentiasa mensucikan diri.” (Al-Baqarah: 222)



سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

Wednesday, September 7, 2011

Adab Menuntut Ilmu


Bismillahirrahmanirrahim. Assalam'alaikum warahmatullahi wabarokatu

ADAB menuntut ilmu hendaklah ikhlas dan diniatkan dalam hati kerana Allah. Apabila seseorang menuntut ilmu hanya mendapatkan gelaran, kedudukan atau ingin menjadi orang dipandang, maka Rasulullah SAW memberi peringatan.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa menuntut ilmu yang dipelajari hanya kerana Allah sedangkan ia tidak menuntutnya kecuali untuk mendapatkan mata benda dunia, ia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Jika ada yang berhajat menuntut ilmu untuk mendapatkan syahadah (sarjana muda atau doktor falsafah) kerana menjadi peraturan yang tertulis hanya mereka yang memiliki pendidikan tinggi boleh menyampaikan atau mengajar ilmu, niat itu termasuk dalam niat yang benar.
Menuntut ilmu dengan niat untuk menghilangkan kebodohan diri dan selepas memiliki ilmu kita harus mengajarkan kepada orang lain untuk menghilang kebodohan daripada diri mereka. Mengajarkan kepada orang lain itu dengan pelbagai cara membolehkan orang lain mendapat manfaat ilmu kita.
Apakah disyaratkan untuk memberi manfaat kepada orang lain kita perlu duduk di masjid atau memberi manfaat dengan ilmu itu pada setiap saat? Jawapan yang benar adalah yang kedua kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sampaikanlah dariku walaupun cuma satu ayat.” (Hadis riwayat Bukhari)
Imam Ahmad berkata: “Ilmu tidak ada bandingannya apabila niatnya benar. Muridnya bertanya: Bagaimanakah yang demikian itu? Beliau menjawab: ia berniat menghilangkan kebodohan daripada dirinya dan orang lain.”
Menjadi keharusan bagi penuntut ilmu berniat menuntut ilmu untuk membela syariat kerana kedudukan syariat sama dengan pedang jika tidak ada seseorang menggunakannya ia tidak bererti.
Penuntut ilmu harus membela agamanya daripada hal yang menyimpang daripada agama. Perkara itu hanya boleh dilakukan jika seseorang itu memiliki ilmu yang benar, sesuai petunjuk al-Quran dan as-Sunnah.
Apabila ada perbezaan pendapat, hendaknya penuntut ilmu menerima perbezaan itu dengan lapang dada selama perbezaan itu pada persoalan ijtihad, bukan akidah kerana persoalan akidah adalah masalah yang tidak ada perbezaan pendapat di kalangan salaf.
Berbeza dalam masalah ijtihad, perbezaan pendapat sudah ada sejak zaman sahabat, bahkan pada masa Rasulullah SAW masih hidup tetapi jangan sampai menghina atau menjelekkan orang lain yang kebetulan berbeza pendapat dengan kita.
Mengamalkan ilmu yang diperoleh termasuk adab terpenting bagi penuntut ilmu kerana amal adalah buah daripada ilmu, baik akidah, ibadah, akhlak mahupun muamalah. Orang yang memiliki ilmu seperti orang memiliki senjata yang tidak akan ada gunanya kecuali diamalkan (digunakan).
Kebenaran dan sabar termasuk adab paling penting bagi kita sebagai penuntut ilmu. Mencari kebenaran daripada berita yang sampai kepada kita yang menjadi sumber hukum. Ketika sampai kepada kita sebuah hadis misalnya, kita harus meneliti lebih dulu kesahihan hadis itu.
Jika menemui bukti bahawa hadis itu sahih, berusaha lagi mencari makna (pengertian) hadis itu.

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

Perkara2 Yg Perlu Utk Menuntut Ilmu


Bismillahirrahmanirrahim. Assalam'alaikum warahmatullahi wabarokatu


Menuntut ilmu adalah merupakan fardhu a'in keatas setiap individu muslim. Bersesuaian dengan ayat pertama yang diturunkan oleh Allah s.w.t yang mengesa hamba-Nya menuntut ilmu dengan kalimah Iqra' yang bermaksud bacalah oleh mu wahai Muhammad. Walaupun ayat ini diturunkan kepada Rasulullah  S.A.W tetapi perintahnya merangkumi semua umat Nabi Muhammad S.A.W. Untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T ketika kita menuntut ilmu , maka kita perlulah memenuhi syarat-syarat berikut:


Niat yang ikhlas: Kita hendaklah berniat menuntut ilmu untuk mencari keredhaan Allah S.W.T semata-mata, barulah kita akan mendapat ganjaran pahala daripada-Nya. Barangsiapa yang berkehendakkan kebaikan dunia maka hendaklah ia mencari ilmu, barangsiapa yang hendak kebaikan akhirat , maka hendaklah dengan ilmu dan barangsiapa yang hendak kebaikan dunia dan akhirat juga hendaklah dengan ilmu.

Meninggalkan maksiat: Maksiat merupakan penghalang kepada proses penerimaan ilmu pengetahuan , istemewanya ilmu agama. Ini boleh digambarkan melalui satu analogi iaitu: " Manusia seperti cermin, ilmu seperti cahaya dan maksiat seperti debu, bagaimana cahaya hendak menyinari cermin kalau cermin ditutupi oleh debu yang tebal". Oleh itu untuk mendapat manfaat ilmu , maka seseorang itu mestilah menyucikan dirinya terlebih dahulu daripada perkara-perkara maksiat.

Tidak berbangga-bangga dengan ilmu yang ada. Tujuan kita menuntut ilmu adalah untuk menghapuskan kejahilan bukan bertujuan untuk memperkecilkan orang lain atau untuk berdebat untuk menentukan siapa yang lebih hebat. Namun begitu boleh berdebat untuk menegakkan kebenaran agama Allah S,W.T.

* Beramal dengan ilmu pengetahuan yang diperolehi. Sangatlah besar dosa disisi Allah S.W.T bagi seseorang yang dia mengatakan apa yang dia sendiri tidak mengamalkan. Di akhirat nanti ada satu golongan manusia yang akan mengheret perutnya ke sana-ke mari di tengah khalayak. Lalu orang bertanya apakah yang telah dilakukan. Maka orang inilah ulama' yang pandai bercakap sahaja tanpa mengamalkannya.

Menghormati guru. Guru telah mengambil tugas sebagai rasul. Kalau rasul menyampaikan agama kepada manusia , maka guru pula menyampaikan ilmu kepada pelajar. Menghormati guru adalah merupakan faktor utama yang boleh mendatangkan keberkatan kepada pelajar tersebut. Imam as-Shafie tidak pernah tidur menghulurkan kakinya ke arah rumah gurunya kerana menghormati kedudukan seorang tuan guru.

Amanah dengan ilmu. Seseorang yang diberi nikmat ilmu yang banyak mestilah amanah dengan ilmu yang telah mereka dapati. Ilmu itu hendak disampaikan apabila diminta oleh muridnya. Mereka juga mestilah bercakap benar walaupun pahit. Seorang ulama' yang membisukan dirinya daripada menyatakan kebenaran kerana menjaga kepentingan kedudukan, harta dan sebagainya maka ia akan dibangkitkan sebagai seekor syaitan bisu.

Tidak mempelajari ilmu-ilmu yang bertentangan dengan Islam. Kita diwajibkan menuntut ilmu yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam sahaja. Adapun belajar ilmu hitam, belajar menipu, belajar mencuri belajar cara-cara hendak memujuk perempuan untuk dijadikan girl friend dan sebagainya maka ia adalah tidak dibolehkan dalam Islam.

Tidak meninggalkan kewajipan fardhu a'in. Semasa proses menuntut ilmu , kita tidak boleh mengabaikan kewajipan asas seperti solat, puasa, menjaga batasan pergaulan, menjaga aurat dan sebagainya.Sekiranya kita meninggalkan kewajipan tersebut maka kita tidak akan mendapat pahala dan proses belajar tersebut tidak dikira sebagai ibadat malahan akan mendapat dosa pula.

Bersabar dalam menuntut ilmu. Menuntut ilmu memerlukan banyak kesabaran dan pengorbanan samada berbentuk dugaan harta, masa, masalah peribadi, masalah keluarga dan sebagainya. Oleh kerana belajar juga  merupakan satu ibadah , maka sudah tentu ia tidak akan terlepas daripada halangan , godaan serta bisikan syaitan. Oleh sebab itu seorang pelajar perlulah bersabar menempuhi segala mehnah dan tribulasi tersebut.

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

Tuesday, September 6, 2011

Kisah 4 Isteri


Bismillahirrahmanirrahim

SUATU ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.
Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.
Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. Dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.
Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedagang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.
Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, “Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri.”
Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, “Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?” Isteri keempatnya terdiam. “Tentu saja tidak!” Jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.
Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, “Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?” Isteri ketiganya menjawab, “Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati“. Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.
Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, “Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?” Si isteri kedua menjawab perlahan, “Maafkan aku…aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu.”
Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, “Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu.”
Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, “Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku.”
Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini ;

* ISTERI KEEMPAT
adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.
* ISTERI KETIGA
adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.
* ISTERI KEDUA
pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.
* DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA
adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak.

Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

Monday, September 5, 2011

DEMAM... UJIAN... KIFARAH...


Salam'alaikum warahmatullahi wabarokatu.


Dah lame tak rasa kurang sihat macam hari ni. Mungkin kifarah dari Allah. Terima kasih ya Allah. Suara pun dah lain, kepala pening2 tapi Alhamdulillah, wajahku ini masih mampu mengukirkan senyuman. Islam itu indah kan? Walau dengan senyuman, mampu mencorakkan hari yang dilalui. Dapat juga beraya seperti orang lain, terasa amat seronok bertemu dengan adik-beradik dan kawan-kawan yang tak selalu boleh jumpa.
Walau tidak mampu diri ni melangkah berjalan, tapi kugagahkan diriku untuk melalui hari-hariku juga. Dan pagi ni kugagahkan juga untuk meneruskan kewajipanku. Sempat ku kirimkan ini disini. Alhamdulillah. Setelah segalanya berlalu, aku redha akan takdirMU ya ILAHI. Segalanya ketentuan dariMU. 
Gembira rasanya hatiku pabila bersama keluarga tersayang. Gembira sangat. Seolah-olah tak pernah kujumpa mereka. Sempat juga ku membuat tudung labuh baru berwarna PINK. Siap juga ia hanya dalam masa tak sampai 30 minit. Alhamdulillah.
Mungkinkah dapat kutemui semuanya lagi? Moga Allah panjangkan umurku utk ku bertemu mereka yang kusayangi lagi. Ya Allah, kuatkan hatiku. Kuatkan imanku. Istiqomahkan aku dalam menuju husnul khotimahMU. Amin.
Suatu hari nanti pasti dia akan mengerti hati kecil ini. PadaNYA kuserahkan segala. Tadi blogwalking di blog2 tentang kafarah. Rasa tenang je hati ni membaca entry para ulama'. Allah sentiasa menguji hambaNYA walau dalam kebaikan diberikan. Sesungguhnya kita yang kene kaji hikmah segala kejadian ini.
Dah lama tak rasa demam macam ni. Hmm memang ku jarang sangat demam. Tapi kalau sekali ku demam, memang ku tak mampu bangun dari katil. Sakitnya tekak tak terperi. Hmm ujian. Semua ni penghapus dosa buatku dan mungkin juga balasan daripada Allah atas segala dosaku pada hari-hari sebelumnya dan juga hari ini.
Tak mampu rasanya nak melangkah bergerak walaupun untuk memasak dijadikan santapan pagi. Rehatkan diri jap di sini, kan ku sambung langkahku bergerak sebentar lagi. Seharian, sesuap nasi pun tidak ku jamah lagi, sakitnya tekak bukan kepalang. Bila berbicara, sakitnya menusuk di telinga. Bila batuk, sakitnya sampai ke kepala. Ya Allah... hambaMU redha, akan kuteruskan langkah ini... Walau ape pun, kite perlu senyum sampai nafas yang terakhir.
Dari sudut itu, aku masih memerhatikan corak hidupku. Aku takkan pernah berganjak.

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك