Friday, August 26, 2011

Menanti Yang Hak ♥♥


Aku sedang menanti dia
Seorang lelaki yang akan bergelar suami
Seorang mukmin yang merindui syahid di jalan ALLAH
Seorang hambaNYA yang senantiasa zikrullah

Dia seorang lelaki yang tegas dan berani
Dia tidak pernah takut untuk berkata benar
Dia tidak pernah gentar melawan nafsu yang ingin menguasai diri
Dia sentiasa mengajak aku berjuang berjihad fisabilillah

Dia selalu menghiburkan aku
Dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran
Dengan zikir-zikir munajat
Dengan surah-surah rindu yang dihafaznya

Ketika aku leka diulik mimpi indah duniawi
Dia menasihati ku supaya mengingati mati
Ketika aku sedang asyik terpesona dengan buaian cinta dunia
Dia menyedarkan aku betapa lazatnya lagi pesona cinta Yang Maha Esa

Dia memang sentiasa kelihatan penat
Matanya penat kerana membaca
Suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir
Badannya letih kerana bermunajat di malam hari

Dia sentiasa mengingati mati
Baginya,dunia ini adalah pentas lakonan semata-mata
Kita hambaNYA adalah pelakon
Hasil keputusan lakonan kita akan diputuskan di padang Mahsyar nanti

Dia sentiasa menjaga matanya dari berbelanja perkara-perkara maksiat
Dia sentiasa mengajak aku mendalami ajaran Islam
Dia seorang yang penyayang dan taat akan kedua ibu bapa
Dia juga sentiasa berbakti untuk keluarga

Dia sentiasa tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan
Baginya, dugaan-dugaan itulah yang akan menjahit semula
Sejadah imannya yang terkoyak
Lantaran mungkin kerana kekhilafannya sendiri

Dia sentiasa menjaga solatnya kerana itulah maruah dirinya
Dia sentiasa bersedia menjadi imam dan pemimpin keluarga
Dia tidak pernah berasa malu mempertahankan agama IslamNYA
Kerana Islam adalah addin ALLAH yang sebenar-benarnya

Dia sentiasa ingin mencontohi sifat-sifat mulia Rasullullah S.A.W.
Dia juga sentiasa berusaha mencintai kekasih agungnya
Kekasih sejatinya dan kekal abadi
Iaitu ALLAHURABBI

Dia selalu berdoa dan mengimpikan syurga
Dia ingin mengajak aku ke sana sekali
Kerana, di situlah tempat pertama wujudnya cinta
Dia ingin bawa aku ke syurga yang abadi dan hakiki

Aku mencintai dia kerana agamanya dan kerana cintanya kepada Maha Pencipta
Andai dia hilangkan cintanya, maka hilanglah cintaku pada dia
Cinta dia terhadap Maha Pencipta mendekatkan aku padaNYA
Cinta Illahi jugalah yang menyebabkan aku memilih dia

Siapakah dia???
Aku juga tidak mengetahui siapakah dia jodoh ku
Hanya Engkau Yang Maha Mengetahui segala sesuatu
Doaku, semoga dia tercipta untuk ku
Semoga aku bertemu jodoh dengan dia
Kerana..
Dia pilihan ku....

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

Baju Raya Mahal?

بسم الله الرحمن الرحيم


Ramadhan bakal meninggalkan kita. Ramai yang memborong persiapan raya. Apa yang kita 'borong' untuk persiapan akhirat pula?

Terus ke tajuk, BAJU RAYA. Ya! Dah beli ke belum? Warna apa? Berapa pasang? Yang penting berapa harga? Antara soalan yang 'orang-orang kaya' selalu tanya.

Suatu petang, diri ini diberi peluang untuk ke salah sebuah pasar malam. Masa sebelum berbuka, kira-kira pukul 6.30 ptg. Kedua belah kaki terus melangkah meredah lautan manusia. Sesak! Busuk! Tak selesa lah senang cerita. Lantas hati riak lagi takbur membisikkan "leceh betul, tempat ni bukan taste aku". Sedang berjalan kedengaran suara peniaga "singgah dik." Ada juga yang menggunakan bahasa yang tak sesuai bagi diri ini seperti "Hai sayang manis, singgah la beli nasi ayam berempah ni". Diri ini malas melayan dan sapaan dibalas dengan suara hati "lelaki macam ni nak berniaga? Rambut serabut, baju tak kemas" beserta riak muka yang begitu bongkak sekali. Diri yang penuh dengan perasaan sombong terus melangkah sehingga suatu saat melewati sebuah gerai yang menjual pakaian yang tidak asing lagi. Baju raya.. Baju kurung.. Mata yang dikurniakan Allah terus melihat pada tanda harga yang ditulis di atas cebisan kotak yang telah dipotong segi 4. Yang tertulis "Baju raya sepasang RM5". Serius beb, ada harga baju semurah tu zaman sekarang ni. Hati kotor ini terus tergelak bagai digeletek. "Hahaha.. Baju macam ni pun nak jual? Corak old season kot. Siapa nak beli? Huhuhu." Ligat hati mengutuk, mencaci hampir semua peniaga yang mencari rezeki halal di situ. Kaki terus melangkah dan berhenti di sebuah gerai yang menjual tudung berbagai warna, tetapi corak sikit pun tak kena dengan taste bak kata orang. Lantas dahi berkerut, hati berkata "Buruk, ish, tempat apa la jual benda-benda macam ni?"

Setelah penat mencaci di dalam hati. Diri ini mengambil keputusan untuk keluar dari kawasan yang dianggap jijik. Langkah diayun dan melewati jalan yang mula-mula dilalui. Melewati gerai nasi ayam berempah, gerai sayur, gerai ikan. Busuk! Hanyir! Sehinggalah diri yang penuh sombong dan riak ini melewati gerai baju raya RM5 tadi. Betapa hati mula menyesal menghamburkan segala caci maki, apabila sepasang mata melihat sebuah keluarga begitu teruja memilih baju raya. Si ibu hanya melihat anak-anaknya memilih, si ayah tersenyum melihat karenah sambil membantu mengacukan baju raya kepada salah seorang anaknya. Lantas diri ini terasa ingin melihat gelagat mereka. Sengaja berhenti konon melihat baju-baju raya tersebut, konon ingin memilih sambil 'buat-buat memilih', telinga dipasang dan mendengar dialog mereka yang membuatkan diri begitu sayu. "Ayah, kakak nak yang ini. Lawanya!" "Ya, lawa. Ambillah kakak." "Ibu, abang nak ni. Adik pun pilih sama dengan abang." "Yelah abang. Tengok dulu muat ke tak. Nanti membazir.. Duit banyak lagi nak guna untuk benda lain ni." Kelihatan begitu gembira riak wajah mereka. Terus anak sungai mengalir dari mata yang dimiliki manusia keji. Allah...... Aku selalu lupa untuk bersyukur. Aku selalu takbur. Aku selalu angkuh dengan pinjaman-Mu. Aku yang miskin sebenarnya. Miskin iman dan kasih sayang. Sedang mereka membeli baju berharga RM5 begitu gembira tanda syukur, tetapi tidak bagi aku. Baju raya aku selalu berharga RM100 ke atas sepasang, kalau tak mahu pakai lagi aku biar. Lama-kelamaan kain buruk juga jadinya. Aku selalu mengeluh baju tak cantik andai ada yang lagi cantik. Andai mama pilih untukku dan aku rasa tak berkenan di hati aku mula merungut. Allah....... Betapa kejinya aku di sisi-Mu. Aku menghina hamba-Mu yang mencari rezeki yang halal. Air mata cuba disorok agar tak kelihatan orang sekeliling. Mungkin ini 'teguran' dari sang Khaliq di atas diri yang selalu lupa daratan, lupa akan asal-usul dan tempat kembali.

Azan maghrib berkumandang menandakan telah masuk waktu berbuka puasa. Diri terus melangkah ke sebuah restoran berdekatan. Ada cerita lain pula. Andai diizinkan Allah, akan ku ceritakan juga di sini.

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

Buat Yang Mencari

Mungkin dirimu ditinggalkan,
Mungkin dirimu menyendiri,
Mungkin dirimu di kelilingi,
Mungkin kau hanya mencari,
Masih belum kau ketemu,
Kerana kau tidak tahu,
Apa yang sebenarnya hilang.


Mungkin kau bersedih,
Mungkin kau bergembira,
Mungkin kau biasa-biasa saja,
Namun, kosong itu masih ada.

Pernahkah?
Pada satu ketika kau menyendiri,
Tanpa sesiapa di sisi,
Kau merasa sedih, mungkin juga benci,
Benci dengan semua makhluk di sekeliling,
Kerana mereka meninggalkanmu.


Pernahkah kau bersedih kerana diri tidak dipeduli,
Kerana diri tidak sehebat manusia lain,
Lalu di situ kau terduduk,
Menangis samada luar atau dalam hati.
Tiba-tiba terdengar satu suara halus,
Yang memujuk hati agar jangan bersedih,
Yang memberitahumu bahawa kau tidak keseorangan,
Yang meyakinkanmu bahawa awan hitam akan berarak pergi,
Matahari pula akan bersinar kembali.

Dalam masa yang sama,
Ada juga satu suara garau,
Yang menyuruhmu untuk tidak mempedulikan itu semua,
Segalanya mustahil, mana mungkin ada peneman setia,
Yang sanggup mendengar segala keluh-kesahmu,
Yang sanggup memaafkan walau menggunung tinggi dosamu,
Yang sanggup menerima usahamu walaupun tidak sehebat insan lain,
Yang tidak pernah sekalipun menolak untuk berada di sisimu.


Namun, suara halus tadi itu kian sayup-sayup kedengaran,
Kemudian hilang ditenggelamkan suara garau yang menambahkan kebencian di hati,
Tanpa sedar dirimu dikemudi amarah,
Mencari kesilapan, mencari kesalahan.

Mungkin pernah,
Dirimu merasakan tiada gunanya menjadi baik,
Kerana akhirnya kau hanya dikhianati, dibenci dan dicaci maki,
Lalu kau mengalah dan ingin berubah menjadi jahat,
Lalu kau biarkan kerana mahu mengelak dari terluka.

Pernahkah kau terfikir?
Andainya Rasulullah S.A.W juga berpendirian sepertimu,
Mungkinkah Islam akan tersebar ke seluruh dunia?
Oh, itu Rasulullah S.A.W! Bukan aku,
Baginda maksum dan aku tidak.


Buat kau yang bernama diri,
Maksumnya junjungan kita,
Tidak membuatkan baginda bukan manusia,
Baginda juga punya hati juga punya perasaan,
Baginda juga punya perasaan sedih,
Juga pernah mengalirkan air mata.


Pernahkah Rasulullah S.A.W beralasan sepertimu?
Pernahkah Rasulullah S.A.W membiarkan suara garau itu menang?
Meski dituduh pelbagai macam,
Ditohmah dengan pelbagai caci-maki,
Malah diancam bunuh.

Tidak!
Baginda tidak pernah membiarkan suara garau itu menang,
Kerana baginda tahu, suara halus itu,
Adalah kasih sayang daripada Allah,
Yang seringkali insan abaikan,
Yang seringkali dinafikan,
Yang seringkali bergema dalam minda,
Namun jarang sekali dibiarkan terus bergema,
Untuk terus membasahi hati yang dahagakan cinta-Nya.

Kau tahu apa yang kau hilang?
Itulah dia, kau hilang cintamu kepada Tuhan,
Jadi, buat kau yang bernama diri,
Duduk, diam dan fikir,
Dengarlah suara halus itu,
Carilah kembali apa yang kau hilang,
Kerana hanya dengan itu,
Hatimu akan kembali terisi,
Kelak, tiada lagi lubang yang mampu suara garau itu duduki.


سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

Berakhir Ramadhan, Suka atau DUKA?


Disaat entri ini ditulis, ramadhan akan meninggalkan kita dalam masa satu/dua hari sahaja lagi. Bulan keberkatan, rahmat, keampunan sudah hampir menutup tirainya. Syaitan-syaitan hampir dilepaskan belenggunya, pintu neraka hampir dibuka. Namun kita sebagai manusia (termasuk diri ini), masih terleka dengan kegembiraan syawal lebih dari kelebihan ramadhan yang disebut.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah : 183
Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Dalam ayat diatas jelas menunjukkan outcome terhadap orang-orang yang berpuasa adalah sejauh mana taqwanya meningkat. Kita? Adakah taqwa kita meningkat? Sesungguhnya untunglah orang-orang yang berjaya mendapat outcome yang dijamin oleh ALLAH ayat diatas. Siapakah orang-orang tersebut?

Mereka ialah orang orang merasai terkesannya diri untuk menjadi lebih baik, gembira sewaktu kedatangan ramadhan dan sedih sewaktu pemergiannya. Mengapa mereka merasai begitu? Sudah tentulah kerana ganjaran dan kebaikannya tidak ada di dalam bulan-bulan lain.

Antara kelebihan ramadhan ialah :

Pahala kebaikan digandakan. MasyaALLAH. Bayangkan kalau diluar ramadhan setiap satu kebaikan akan diberi sepuluh ganjaran, apatah lagi ramadhan? Sebagai contoh, dengan membaca al-Quran, ganjarannya mengikut berapa huruf yang dibaca. Jika satu surah al-Fatihah di baca pada luar bulan ramadhan, setiap huruf di beri ganjaran sepuluh kebaikan. Jika dibulan ramadhan, hanya dengan surah al-fatihah berganda-ganda ganjarannya. Apatah lagi yang menghabiskan satu Al-Quran. Begitu juga sedeqah dan sebagainya.

Allah membuka pintu keampunan seluas-luasnya. Sedangkan Rasulullah yang ma’sum pon setiap hari bertaubat kepada ALLAH, inikan lagi kita, manusia biasa, yang tidak diberi apa-apa jaminan syurga. Hanya orang-orang bijak sahaja yang mengambil peluang sehabis baik meminta keampunan di bulan ini. Setiap tangisan airmata yang keluar ikhlas kerana ALLAH itulah yang akan membantu menyelamatkan kita dari seksaan azab api neraka.

Malam lailatulqadar. Ganjaran yang ada pada malam ini sama seperti beribadat selama 1000 bulan atau bersamaan dengan 83 tahun. Mengikut salah satu pendapat ulama’ berdasarkan nas-nas, ia berlaku pada sepuluh malam ganjil sepuluh terakhir bulan ramadhan. Semua ciptaan ALLAH tunduk sujud dengan cara tersendiri pada malam itu, Inikan lagi manusia, yang diberi aqal, mereka perlulah lebih berusaha mencari malam ini.

Seperti firman Allah dalam (surah Al-Qadr : 1-5)
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Doa dimakbulkan. Antara doa-doa akan ALLAH akan makbulkan dengan hebat ialah doa orang-orang yang berpuasa. Itupun jika puasa dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Berusaha untuk mencapainya, bukan setakat berdoa sahaja.

Dengan pemergian Ramadhan pada kali ini diharapkan memberi satu kekuatan dan latihan untuk terus istiqamah dalam melakukan amalan-amalan. Oleh itu wahai rakan sekalian, sambutlah aidilfitri dengan kegembiraan yang berpada-pada, janganlah sampai menjadikan syawal sebagai hari balas dendam atas segala apa yang kita tahan selama bulan ramadhan.

Kepada yang berusaha pergi bertarawikh di surau pada bulan ramadhan, teruskan usahamu untuk berjamaah fardhu di luar bulan ramadhan.

Kepada mereka yang berusaha berhenti merokok pada bulan ramadhan, teruskan usaha anda untuk berhenti merokok.

Kepada yang selalu menahan diri untuk mencarut pada bulan ramadhan, jaga mulutmu dari perkataan-perkataan yang tidak berguna itu selepas ramadhan.

Kepada mereka yang letih sujud berqiamullail pada bulan ramadhan, teruskan dengan bangun malam itu sepertimana kau mencari LailatulQadr di bulan ramadhan.

Kepada mereka yang menahan diri dari berdating dengan temanmu di bulan ramadhan teruskan usahamu membina pertalian suci diantara dua hati yang bukan muhrim.

Kepada mereka yang menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang terjurus kepada kelucahan semasa bulan ramadhan, jadikan syawal dan bulan-bulan seterusnya sebagai permulaan kepada pengakhiran.

Kepada mereka yang berusaha menutup aurat untuk bertarawikh di surau pada bulan ramadhan, teruskan usaha sucimu itu dibulan-ulan seterusnya. Agar ia menjadi kebiasaanmu kelak.

Dan begitulah selanjutnya, jadikanlah ramadhan sebagai latihan untuk kamu menjadi insan yang lebih berguna.

Terima kasih ALLAH kerana memberikan aku kesempatan untuk menghabiskan ramadhan pada tahun ini, dan sampaikanlah aku ke ramadhan seterusnya. Amin, Ya Rabbal- Alamin

Hadith Rasulullah SAW:
"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan
Ramadhan". -Riwayat Ahmad dan At Tabrani daripada Anas-



سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك

Ganjil?

-Gadis berniqab, ganjil?
-Gadis menutup aurat sepenuhnya, ganjil?
-Gadis melabuhkan tudung menutupi dada mereka, ganjil?
-Gadis mengenakan pakaian longgar dan besar, ganjil?
-Gadis malu untuk keluar bersama bukan mahram, ganjil?
-Gadis pakai stoking kaki ke mana-mana walau mandi bersama kawan-kawan di laut, ganjil?
-Gadis pakai stoking tangan walau dah mengenakan t-shirt lengan panjang, ganjil?
-Gadis meninggalkan orang yang sedang gosip dan mengata orang lain walaupun yang sedang mengata itu kawan baiknya, ganjil?
-Gadis tidak mengenakan mekap berlebihan, ganjil?
-Gadis tidak memakai perfume kecuali sekadar sangat sedikit dan tidak terhidu orang lain, ganjil?
-Gadis tak 'couple' sebelum nikah, ganjil?
-Gadis tak materialistik dan memilih kehidupan untuk taat kepada agama, ganjil?
-Gadis ganjil?

Sabda Rasulullah s.a.w: “Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” (Hadis Riwayat Muslim)

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لااله إلاانت وأستغفرك وأتوب إليك